Rabu, 25 April 2018

PENGANTAR PENGAJIAN MELAYU (ABMS1103)



Penulisan tugasan ini adalah berkaitan dengan perbincangan tentang beberapa orang tokoh-tokoh Inggeris dan Belanda yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Pengajian Melayu di Nusantara meliputi Tanah Melayu (Malaysia), Aceh (Indonesia), kepulauan Borneo dan kawasan sekitarnya.

Pengajian Melayu dan penjajahan Barat sangat berkait rapat kerana Pengajian Melayu di negara ini pada awalnya dibangunkan oleh para sarjana Barat terutamanya sarjana Inggeris dan Belanda.

Pengajian Melayu ialah apa sahaja yang berkaitan dengan kajian, perbincangan, penulisan, penerbitan dan pendokumentasian tentang orang Melayu dan kehidupannya.

Dalam usaha mereka untuk memahami bahasa, adat dan budaya orang Melayu, mereka berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu dan mengutip serta mengumpul manuskrip lama untuk dijadikan bahan penelitian. Antara tokoh yang ingin diperbincangkan untuk tugasan ini adalah seperti Frank Athelstane Swettenham (Frank Swettenham) dan Richard Olaf Winstedt (R.O Winsteadt) dari British manakala Christiaan Snouck Hurgronje (Snouck Hurgronje) dari Belanda.

2.0         NAMA TOKOH KOLONIAL INGGERIS (BRITISH) YANG TERLIBAT

             2.1          Frank Athelstane Swettenham

Frank Alhelstane Swettenham atau lebih dikenali sebagai Frank Swettenham merupakan seorang pegawai kolonial semasa pemerintahan British di tanah Melayu. 

Beliau dilahirkan pada 28 Mac 1850 di Belper, Derbyshire, England, anak keempat James Oldham Swettenham.
Beliau telah menjadi Kadet Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870.  Pada tahun 1871 semasa di Singapura beliau telah mengikuti latihan sebagai pegawai kolonial British ketika berumur 20 tahun. Tugas beliau ketika itu memerlukan beliau untuk berinteraksi dengan masyarakat yang kebanyakkannya berbangsa Melayu. Oleh yang demikian, beliau perlu mahir serta mampu menguasai bahasa tempatan iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa perhubungan.

Menyedari hakikat itu, beliau mula mempelajari bahasa Melayu dengan bimbingan Munsyi Mohd Said bin Dada Mohyiddin yang merupakan editor surat khabar Melayu pertama iaitu “Jawi Peranakan”. Hasil dari pembelajaran serta bimbingan oleh Munsyi Mohd Said, Frank telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan akhir Jurubahasa yang didudukinya.

Pada tahun 1872 – 1873, beliau bertugas sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah dan kemudiannya sebagai Pemungut Hasil Tanah bagi negeri Pulau Pinang dan Seberang Prai.
Pada bulan Januari, Jun dan Julai 1874 beliau dihantar menjadi utusan khas di Perak.

Manakala pada akhir tahun 1874 beliau ditugaskan pula di Selangor sebagai pembantu Residen ekoran kejayaan beliau dalam perkhidmatan sebelum ini. Antara jawatan lain yang pernah beliau sandang adalah seperti berikut:

a.            1875 - Penolong Pesuruhjaya Negeri Perak.
b.            1876 - Penolong Setiausaha Kolonial bagi Negeri-negeri Melayu.
c.             1881 - Penolong Setiausaha Kolonial.
d.            1882 - Residen Inggeris di Selangor.
e.            1883 - 1884 - Pesuruhjaya bagi Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu di Pameran Calcutta, India.
f.             1884 - 1886 – Pemangku Residen Perak.
g.            1889 - Residen Perak.
h.            1896 - Ketua Residen bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
i.              1901 - Gabenor Negeri-negeri Selat.

2.1.1      Penglibatan Dan Sumbangan Yang Diberikan

Walaupun peranan dan sumbangan beliau terhadap pengajian Melayu tidaklah begitu besar namun ianya tidak boleh dipandang ringan.

Sumbangan pertama beliau dalam bahasa Melayu dan penulisan ialah beliau telah menterjemahkan perjanjian Pangkor 1874 dengan bantuan Munsyi Mohd Said. Selain itu beliau juga dikatakan telah menulis  manuskrip tentang Hikayat Hang Tuah.

Namun sumbangan terbesar beliau ialah telah menulis Daftar Kata Bahasa Melayu – Inggeris dan Inggeris – Bahasa Melayu (Vocabulary of the English and Malay Languages) serta menerbitkan dua buak buku iaitu ‘Keterangan-keterangan Ringkas Melayu’ (Malay Sketches) dan ‘Surat-surat Tanpa Alamat’ (Unaddressed Letters).

Diantara karya beliau yang paling terkenal ialah ‘Malay Sketches’. Beliau telah memberi gambaran tentang orang Melayu dizamannya mengikut perspektif dan pengalaman peribadi sejak berada di Tanah Melayu dari tahun 1871. Pandangan Swettenham tentang orang melayu ini menjadi bicara utama dalam bab pertama naskah beliau yang diberi tajuk ‘The Real Malay’. Karya ‘Malay Sketches’ ini dihasilkan pada tahun 1895, yang mana boleh disimpulkan bahawa orang Melayu yang digambarkan oleh beliau adalah dari hasil pengalaman bergaul hidup serta berada dalam masyarakat Melayu selama 24 tahun.

Manakala kajian beliau dalam mencipta kamus pula telah membantu memperkaya bahasa Melayu agar lebih berkembang dan mempunyai sistem lebih tersusun serta mantap. Sistem yang diperkenalkan oleh Frank Swettenham dikenali sebagai Sistem Ejaan Swettenham (1811).

Beliau juga telah menyenaraikan lebih 5500 perkataan Inggeris dalam Daftar Kata Inggeris – Melayu. Beliau juga telah memuatkan terjemahaan dalam ejaan rumi bahasa Melayu serta terjemahaan dalam ejaan jawi.

Sumbangan beliau dalam menghasilkan daftar kata telah mendapat reaksi positif dari pelbagai pihak termasuk akhbar seperti Daily Times (18 April 1811), Penang Gazzette (9 May 1881), London & China Express (3 Jun 1881). Ini merupakan sumbangan terbesar beliau terhadap perkembangan pengajian bahasa Melayu.

2.1.2      Faktor Pendorong

Pengalam beliau sebagai pegawai kolonial British (Inggeris) selama 33 tahun di Tanah Melayu membolehkan beliau mengenali dan memahami tentang orang-orang Melayu.

Beliau telah menghasilkan beberapa bentuk penulisan berkaitan dengan orang Melayu dan bahasa Melayu. Antara tulisannya ialah The Real Malay, A silver-Point, Malay Supersititions, Ber-hantu, The Joget, Malay Sport, Meng-Glunchor, Local in Colour, Manuskrip Hang Tuah dan banyak lagi artikel yang ditulis oleh beliau berkaitan orang Melayu.

Penulisan beliau tentang orang Melayu adalah berdasarkan hasil pemerhatian dan pergaulan  beliau dengan masyarakat Melayu.

2.2          Richard Olaf Winstedt

Winstedt ialah seorang pegawai kolonial dan Orientalis Inggeris. Beliau dilahirkan pada 2 Ogos 1878 di Oxford, London. Mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Oxford. Beliau telah berkahwin dengan dengan Sarah Castell, daripada sebuah keluarga yang telah lama menetap di kota Oxford.

Beliau memperolehi ijazah sarjana muda daripada Universiti Oxford pada tahun 1898. Beliau menyertai perkhidmatan kolonial dan memulakan kerjaya di Persekutuan Tanah Melayu iaitu di Perak pada akhir tahun 1902.

2.2.1      Penglibatan Dan Sumbangan Yang Diberikan

Peranan dan sumbangan beliau terhadap pengajian Melayu sangat memberi menafaat yang sangat besar terhadap alam dunia Melayu.

Pada tahun 1903, Winsteadt ditugaskan sebagai pegawai pelatih di sekolah rendah di Perak. Sejak awal perkhidmatannya lagi, beliau mampu berinteraksi dengan orang Melayu serta menguasai bahasa serta adat dan budaya orang Melayu.

Dengan pengetahuan bahasa dan adat budaya Melayu yang ada pada beliau, seterusnya beliau dilantik ke beberapa jawatan-jawatan lain. Antaranya adalah:

a.            1907 - Penolong Pegawai Daerah di Tapah, Perak.
b.            1913- Pegawai Daerah di kuala Pilah, N.Sembilan.
c.           1916 - Penolong Pengarah Pendidikan bagi Negeri-negeri Selat.
d.            1924 - Pengarah Pendidikan Negeri-negeri Selat.

Sepanjang keterlibatan Winsteadt di Tanah Melayu banyak sumbangan yang telah beliau hasilkan. Diantaranya, sewaktu beliau bekerjadi Kuala Pilah, beliau telah menghasilkan dua buah buku yang bertajuk Colloquial (Malay: A Simple Grammer with Consorvations) dan sebuah kamus yang dianggap sangat penting dalam perkembangan bahasa Melayu iaitu A Dictionary of Colloquial Malay-English and English-Malay pada tahun 1920. Kamus beliau dianggap baik kerana  mengandungi banyak maklumat tentang geografi tempatan. Disamping itu, beliau banyak memasukkan perkataan bahasa Indonesia.

2.2.2      Faktor Pendorong

Winsteadt banyak memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan orang Melayu. Menurut jurnal ‘Australian Journal of Politics and History’, “Winsteadt adalah cendikiawan British yang pertama membuat satu kajian secara sistematik mengenai bahasa Melayu untuk tujuan-tujuan bersejarah, malah mengaplikasikan pendekatan saintifik dalam tulisannya mengenai Sejarah Melayu”.

Disamping itu, beliau juga banyak menghasilkan buku-buku berkaitan kesusteraan Melayu sepanjang perkhidmatannya sebagai pegawai kolonial Inggeris di Tanah Melayu. Berikut adalah diantara  beberapa buah hasil karya tulisan Winsteadt seperti;
  
1. Cherita jenaka: ya-itu Pa Kadok, Pa Pandir, Lebai Malang, Pa Belalang, Si Lunchai, Singapore: Methodist Publishing House, 1908.
2. The Circumstances of Malay Life. The kampong. The house. Furniture. Dress. Food, 1909.
3. Fishing, Hunting and Trapping, 1911.
4. Hikayat Anggun Che Tunggal, Singapore: Methodist Publishing House, 1914.
5. An English-Malay Dictionary, Kelly & Walsh: Singapore, 1914-17.
6. Malayan memories, Singapore: Kelly and Walsh, 1916.
7. A Malay Reader, Clarendon Press: Oxford, 1917.
8. Misa Melayu, Singapore: Methodist Publishing House, 1919.
9. Dictionary of Colloquial Malay. Malay-English & English-Malay, Singapore: Kelly & Walsh, 1920.
10. Malaya: The Straits Settlements and the Federated and Unfederated Malay States, London : Constable, 1923.
11. Shaman, Saiva and Sufi. A study of the evolution of Malay magic, London: Constable, 1925.
12. A Malay History of Riau and Johore, etc. (Malay text of the Tuḣfat al-nafīs), Singapore, 1932.
13. A History of Johore, Singapore, 1932.
14. Right Thinking and Right Living. A primer on moral & social topics, etc., Singapore: Malaya Publishing House, 1933.
15. A History of Perak, Singapore, 1934.
16. A History of Malaya, Singapore, 1935.
17. A Simple Malay Reader, London: Kegan Paul & Co., 1944.
18. Britain and Malaya, 1786-1941, London, 1944.
19. The Malays: a cultural history, Singapore: Kelly & Walsh, 1947.
20. The Malay magician: being shaman, saiva and sufi: Oxford University Press,                      1993.
21. A History of Malaya: Marican & Sons (Malaysia), 1982.
22. A history of Johore, 1365-1895: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society by Art Printing Works, 1979.
23. Sejarah Melayu, The Malay Annals / disusun oleh Cheah Boon Kheng, dirumikan oleh Abdul Rahman Haji Ismail: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1998.
24. A history of classical Malay literature: Council of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 1996.
25. An unabridged English-Malay dictionary: Marican & Sons, 1963.
26. Malaya: The straits settlements and the federated and unfederated Malay states: Constable & Co., 1923.
27. The Malays: a cultural history: Routledge & Kegan Paul, 1950.
28. Hikayat Anggun Cik Tunggal / oleh Pawang Ana dan Raja Haji Yahya; naskhah oleh Sir R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock: Fajar Bakti, 1985.
29. Hikayat Bayan Budiman/diusahakan oleh R. O. Winstedt: Penerbit Fajar Bakti,                  1985.
30. Hikayat Awang Sulung Merah Muda/oleh Pawang Ana dan Raja Haji Yahya; naskhah, Sir R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock: Fajar Bakti, 1985.
31. Malay proverbs: Graham Brash, 1981.
32. The Malays: a cultural history: Graham Brash (Pte) Ltd., 1981.
33. The Malay: a cultural history.
34. A History of Malaya: Marican & Sons (Malaysia) Sdn. Bhd., 1982.
35. A history of classical Malay literature: Oxford University Press, 1969.
36. Malayan and Indonesian studies, essays presented to Sir Richard Winstedt on his eighty fifth birthday / edited by John Bastin and R. Roovink: Clarendon Press, 1964.

3.0          NAMA TOKOH KOLONIAL BELANDA YANG TERLIBAT

3.1          Snouck Hurgronje

Snouck Hurgronje adalah seorang sarjana Belanda dan Penasihat Hal Ehwal Anak Negeri kepada kerajaan kolonial Hindia Timur Belanda (sekarang Indonesia). Beliau adalah pengkaji politik Islam di Indonesia yang terkenal terutamanya di Aceh.

Dilahirkan pada 8 Febuari 1857 di Tholen, Osterhoot, Belanda dan meninggal di Leiden pada 26 Jun 1936 ketika berusia 79 tahun. Beliau adalah seorang pelajar dalam jurusan teologi di Universiti Leiden pada tahun 1874. Beliau menerima ijazah kedoktoran pada tahun 1880 setelah menyiapkan tesisnya ‘Mekkaansche Feest' (Perayaan di Mekah). Beliau menjadi seorang profesor di Sekolah Leiden bagi hamba-hamba Awam Tanah Jajahan pada tahun 1881.

Beliau telah memeluk agama Islam di Mekah dan menukar nama kepada Abdul Ghaffar. Tujuannya adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada ulama Mekah. Pada tahun 1884, beliau telah dihantar ke Mekah untuk mengkaji kehidupan akar Islam di bumi Mekah bagi tujuan politik Belanda.

Snouck, yang fasih bahasa Arab, melalui pengantaraan dengan gabenor Uthmaniyyah di Jeddah, telah diperiksa oleh perwakilan ulama dari Mekah pada tahun 1884 dan apabila berjaya menamatkan peperiksaan dibenarkan untuk memulakan ziarah ke bandar Islam yang Suci Mekah pada tahun 1885. Beliau adalah salah seorang ulama pertama Barat budaya Oriental untuk berbuat demikian.

3.1.1      Penglibatan Dan Sumbangan Yang Diberikan

Snouck Hurgronje atau nama islamnya Abdul Ghaffar merupakan tokoh yang sangat kontroversi. Beliau disanjung sebagai sarjana Islam yang cemerlang, tetapi ada juga yang menglabelkannya sebagai seorang ulama palsu kerana ada muslihat untuk menghancurkan Islam dari dalam dengan pura-pura masuk Islam. Betapa pun diakui oleh semua pihak bahawa pemerintah Belanda mempunyai kebijaksanaan tentang Islam di daerah jajahannya yang bernama Hindia Belanda (Indonesia) setelah Snouck Hurgronje menjadi penasihat pemerintah dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

Penglibatan Snouk Hurgronje sangat mempengaruhi terhadap pola pemikiran masyarakat muslim di Indonesia terutamanya di Aceh. Ini disebabkan kerana beliau fasih berbahasa Melayu dan Arab. Dalam interaksinya dengan masyarakat muslim Aceh sejak bulan Julai 1891 hingga awal Februari 1892, Snouck Hurgronje berhasil mengumpulkan data-data baru dalam bentuk buku dua jilid iaitu De Atjehers (1893-1894) yang disiapkannya di Batavia (Jakarta).

Semasa hidupnya Snouck Hurgronje telah melangsungkan perkawinan sebanyak tiga kali. Perkawinan pertamanya dengan Sangkana, anak tunggal kepada Raden Haji Muhammad Ta’ib iaitu penghulu besar Ciamis. Hasil perkawinan tersebut, beliau telah dikurniakan empat orang anak bernama Salmah, Umar, Aminah dan Ibrahim. Pada tahun 1895, Sangkana meninggal dunia, kemudian tahun 1898 Snouck melangsungkan perkawinan keduanya dengan Siti Sadiah anak kepada Haji Muhammad Soe’eb, wakil penghulu kota Bandung. Hasil perkawinan tersebut, beliau dikurniakan seorang anak lelaki bernama Joesoef. Pada tahun 1910, Snouck kembali melangsungkan perkawinan ketiga dengan Ida Maria, putri Dr. AJ Gort, pendeta liberal di Zutphen, perkawinannya yang ketiga ini dilangsungkan di negeri Belanda dan lahirlah seorang anak perempuan bernama Chrisrien, perkawinan ini merupakan perkawinan terakhir sehingga ia meninggal dunia pada 26 Jun 1936.

3.1.2      Faktor Pendorong

Berbekalkan pengalamannya yang pernah bergaul dengan jemaah haji Indonesia di Mekah ditambah pula beliau fasih berbahasa Melayu, maka itulah sebabnya  mendorong beliau berkeinginan untuk datang ke Nusantara terutamanya Indonesia.

Dalam pelayaran ke Aceh dengan misi rahsia, beliau telah ditahan di pelabuhan Pulau Pinang kerana Gubenor Van Teijn melarangnya masuk Aceh pada 1 April 1889. Beliau dituduh bergaul dengan pelarian dan berusaha masuk ke Aceh secara haram. Akhirnya Snouck ke Betawi pada 11 Mei 1889.

Kemudian dia menaiki kapal British dan sampai ke Aceh dan berjaya sampai ke istana sultan. Tentera Belanda masih mengangap Snouck Hurgronje sebagai perisik, lalu dihantar pulang ke Belanda.

Di Betawi, Snouck bekerja sebagai pegawai pemerintah. Dia dilihat akrab dengan penduduk Betawi termasuk para ulama. Oleh itu C. Pijnacker Hordijk membenarkan Snouck menjawat jawatan Penasihat urusan Bahasa-Bahasa Timur dan Hukum Islam sejak 15 Mac 1891.

Pada 9 Julai 1891 Snouck sampai ke Aceh dan menetap di Kutaraja (Banda Aceh) dan menjadi orang kepercayaan Van Heutz, Gabenor Jenderal Hindia Belanda (1904-1909).

4.0          RUMUSAN

Penjajahan Inggeris dan Belanda ke atas Kepulauan Melayu terutamanya di Tanah Melayu (Malaysia) dan Batavia (Jakarta) banyak memberi impak terhadap lanskap kehidupan orang Melayu terutamanya dari sudut sosial, politik, ekonomi, agama dan budaya. Matlamat utama penjajahan mereka adalah ingin menguasai perdagangan rempah dan bijih timah disamping mengembangkan agama kristian serta mencampuri urusan politik di negara ini.

Mereka sering mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang-orang Melayu terutamanya raja-raja dan pemerintah yang sering berebut kuasa. Disinilah mereka memainkan peranan semasa menjadi orang tengah dan sekaligus mencampuri urusan pentadbiran negara.
 
Bukan setakat itu, malah perebutan kuasa antara kuasa-kuasa penjajah juga menunjukkan bahawa negeri-negeri Melayu sememangnya menjadi idaman kuasa-kuasa barat, khususnya untuk tujuan mengeksploitasi sumber-sumber ekonomi. Diantara kuasa-kuasa barat ini berlaku permusuhan dan persaingan untuk memonopoli sumber-sumber ekonomi di Kepulauan Melayu.

Dalam usaha mengelak berlakunya konflik, maka termeterailah perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824. Kesan dari perjanjian tersebut menyebabkan Kepulauan Melayu terbahagi kepada dua pengaruh iaitu kawasan Selatan dan Barat berada di bawah Belanda manakala kawasan Utara, Timur dan Negeri-negeri Selat di bawah British.

Tidak dinafikan, selain ianya membawa keburukan namun pihak penjajah juga ada membawa perkara kebaikkan terhadap kemajuan dari sudut pendidikan dan pentadbiran negara. Sebagai contoh, mereka telah menyediakan sekolah untuk pendidikan orang-orang Melayu disamping sekolah aliran barat.

Semasa pentadbiran British, sekolah aliran Melayu, Cina dan Tamil didirikan bagi memberikan pendidikan sekular kepada anak-anak petani dan nelayan. Sekolah sekular ini bermaksud pendidikan yang berkaitan dengan ilmu keduniaan. Di sekolah ini anak-anak Melayu diajar menulis, membaca dan mengira serta sedikit ilmu Geografi, seni pertukangan dan perkebunan. Sekolah sekular Melayu hanya memberikan pendidikan rendah sehingga darjah enam sahaja. Sekolah sekular Melayu pertama dibina adalah di Negeri-Negeri Selat, iaitu Sekolah Melayu Gelugor dan Sekolah Melayu Bayan Lepas di Pulau Pinang. Sekolah-sekolah sekular Melayu kemudiannya dibuka di Seberang Prai, Melaka dan kemudiannya dibuka di negeri-negeri Melayu yang lain.

Manakala di Indonesia pula, sekolah pertama didirikan oleh Belanda iaitu pada tahun 1914. Pelajaran yang diajar hanya membaca, menulis dan sembahyang. Guru-guru tempatan mendapat pendidikan di Belanda. Sekembalinya ke tanah air, mereka diangkat sebagai guru. Sebagai bahasa pengantar mula-mula ditetapkan bahasa Belanda. Ini menimbulkan berbagai kesulitan, maka akhirnya ditetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah dan gereja.







RUJUKAN / REFERENSI

Effendi, Tadjuddin Noer. 2005. Sosiologi Pembangunan; RPKPS dan Garis Besar Bahan Ajar. Jurusan Sosiologi, Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta.
Ricklefs, M.C., 2005. Sejarah Indonesia Modern 1200 – 2004. Jakarta; Serambi Ilmu Semesta.
Sztompka, Piötr. 2004. Sosiologi Perubahan Sosial. Jakarta; Prenada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan