Khamis, 5 April 2018

BAHASA MELAYU TERJEMAHAN (ABML4103)

1.0 PENGENALAN

Sejarah terjemahan bermula seawal manusia mula membuat hubungan dengan dunia di luar lingkungan masyarakat asal masing-masing. Lanjutan daripada aspek masa yang dilalui oleh bidang terjemahan, pelbagai kajian dan penyelidikan telah dibuat yang menghasilkan pelbagai teori dan kaedah dalam terjemahan. Dalam konteks ini, penterjemah bertindak sebagai jambatan komunikasi bagi menghubungkan dua pihak yang sebenarnya tidak dapat berkomunikasi.

Teori awal penterjemahan dikemukakan oleh Etienne Dolet (1509-1546). Beliau mengemukakan prinsip-pinsipnya pada tahun 1540. Antara prinsip-prinsip itu adalah:

1. Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal.

2. Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa penerima terjemahan itu.

3. Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan oleh sebab perbuatan itu akan merosakkan makna asal teks tersebut dan akan menyebabkan terjemahaan itu tidak indah lagi apabila dibaca, padahal teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.

4. Penterjemah hendaklan menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk-bentuk bahasa asalnya.

5. Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.

Menurut Dolet, penterjemah hendaklah menguasai kedua-dua bahasa tersebut dengan baik. Beliau juga menyarankan supaya penterjemah mengelakkan daripada menterjemah secara literalisme iaitu perkataan demi perkataan. Prinsip ini bersesuaian untuk terjemahan bacaan umum. Beliau juga menekankan betapa pentingnya unsur stilistik untuk kerja-kerja terjemahan yang serius tanpa mengira jenis media dan isi teks.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2013), mendefinisikan perkataan terjemahan sebagai “... pindahan (karangan dan lain-lain) daripada suatu bahasa ke suatu bahasa yang lain...”.

Menurut Nida (1969), definisi terjemahan ialah penyalinan semula ke dalam bahasa penerima maklumat daripada bahasa sumber dalam bentuk persamaan yang terdekat sejadi. Persamaan dari sudut makna dan juga persamaan dari sudut jenisnya atau style.

Terdapat banyak kaedah dan teknik dalam melakukan kerja-kerja penterjemahan. Newmark (1988) di dalam bukunya “A Textbook of Translation”, menggariskan 8 kaedah penterjemahan iaitu:

1. Penterjemahan Kata Demi Kata (Word For Word Translation).

2. Penterjemahan Harfiah (Literal Translation).

3. Pernterjemahan Setia (Faithful Translation).

4. Penterjemahan Semantik (Semantic Translation).

5. Adaptasi (Adaptation).

6. Penterjemahan Bebas (Free Translation).

7. Penterjemahan Idiomatik (Idiomatic Translation).

8. Penterjemahan Komunikatif (Communicative Translation).

Menurut Ainon Mohd dalam bukunya “Panduan Menterjemah” (2007), penterjemahan bermaksud mengalih satu bahasa ke bahasa yang lain. Pengalihan ini merangkumi warta (mesej) teks sumber, gaya bahasa dan tindak balas yang sama daripada pembaca sasaran.

Di samping itu, secara literalnya, penterjemahan boleh dikatakan sebagai teknik menggantikan perkataan-perkataan daripada satu bahasa ke bahasa yang lain. Definisi terjemahan harus dilihat daripada sudut yang menyeluruh supaya ianya jelas kepada mereka yang ingin tahu akan maksud sebenar terjemahan. Penterjemahan boleh didefinisikan mengikut Catford (1996) seperti yang berikut; “Pengantian bahan teks dalam satu bahasa (bahasa sumber) dengan bahan teks yang sepadan dalam bahasa lain (bahasa sasaran)”.

Menurut Norizah Ardi (2009) dalam bukunya “Pengantar Prinsip Penterjemah”, pada tahun 1950an banyak kaedah yang digunakan untuk menterjemah dan menganalisis terjemahan. Penggunaan pelbagai perkataan seperti strategi, taktik, kaedah, proses, prinsip dan prosedur hanyalah satu kekeliruan istilah sahaja. Tahun 1950an banyak kaedah yang digunakan untuk menterjemah dan menganalisis terjemahan.

Kaedah penterjemahan penting bagi memastikan setiap teks yang diterjemah dapat difahami oleh pembaca atau pengguna. Biasanya, terjemahan merupakan pekerjaan manusia, tetapi selaras dengan perkembangan teknologi, penterjemahan sudah boleh dibantu dengan mesin, iaitu penterjemahan mesin.

Ciri-ciri seseorang penterjemah yang baik pula, mestilah mempunyai prinsip-prinsip seperti berikut; iaitu tidak mengubah maksud pengarang teks asal, menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca, menghormati tatabahasa penerima dan menterjemah “makna bahasa” bukan menterjemah bentuk bahasa.

Dua istilah asas penting yang perlu diketahui oleh semua pembaca sebelum memahami definisi yang ingin dikemukakan ialah istilah yang berkaitan dengan bahasa sumber dan bahasa sasaran.

Bahasa sumber ialah bahasa asal yang hendak diterjemah ke bahasa yang kedua. Contohnya, dalam artikel bahasa Inggeris yang diterjemah kepada bahasa Melayu, maka oleh itu, bahasa sumbernya ialah bahasa Inggeris.

Dengan mengetahui bahasa sumber, ia dapat membantu penterjemah membezakan maksud sebenar teks asal dan dengan itu, seseorang penterjemah itu dapat menterjemah maksudnya dengan lebih tepat.

Terdapat dua kaedah dalam penterjemahan iaitu kaedah lama (kaedah formal) dan kaedah baru (kaedah dinamis). Untuk tugasan kali ini, penulis lebih menfokuskan penerangan kepada kaedah penterjemahan dengan menggunakan kaedah dinamis. Kaedah dinamis dibahagikan kepada enam kaedah iaitu kaedah persamaan, adaptasi, generalisasi, modulasi, penyamaan fungsian dan pengembangan.

2.0 KAEDAH PERSAMAAN DAN ADAPTASI

2.1 KAEDAH PERSAMAAN

Kaedah persamaan ialah kaedah menterjemah dengan mencari bentuk kata, frasa atau klausa yang paling sesuai dengan teks yang diterjemah berdasarkan kepada bentuk persamaan leksikal, iaitu persamaan dari segi makna mengikut konsep dan konteks penggunaan teks yang diterjemah.
 
Kaedah persamaan iaitu persamaan yang perlu dilakukan oleh seseorang penterjemah ialah persamaan yang paling hampir dan persamaan yang paling lazim. Kaedah persamaan ini dilakukan pada pelbagai tahap seperti peringkat leksikal, sintaktikal dan persamaan wancana.

Menurut Puteri Roslina (2007) dalam bukunya “Pengantar Penterjemah Bahasa Melayu” berkata, “persamaan yang dimaksudkan ialah persamaan terdekat dan persamaan sejadi atau bersahaja. Persamaan sedemikian bergantung sepenuhnya kepada konteks dan nilai budaya seperti dalam ungkapan idiomatik daripada peribahasa. Tidak ada dua perkataan yang benar-benar sama makna dalam dua bahasa yang berlainan.”
 
Contoh 1:

Persamaan terdekat.

Bahasa Melayu - Pulut kuning

Bahasa Inggeris - Yellow rice

Suatu persamaan itu mungkin bersifat terdekat, tetapi tidak bersifat natural. Contoh 1 di atas ialah istilah pulut kuning yang mempunyai istilah yang hampir sama dalam bahasa Inggeris ialah yelow rice. Tetapi yellow rice tidak menggambarkan aspek-aspek kebudayaan orang-orang Melayu oleh itu yellow rice tidak natural. Warna yelow dalam bahasa Inggeris adalah serupa sahaja seperti warna-warna biasa yang lainnya. Tetapi warna kuning adalah warna yang istimewa dalam kebudayaan Melayu. Oleh itu, ungkapan yellow rice tidak menggambarkan sifat-sifat pulut kuning dalam kebudayaan Melayu.

Contoh 2:

Persamaan sejadi (bersahaja).

Bahasa Inggeris - Race

Bahasa Melayu - Bangsa, puak, orang, kaum, keturunan


Ada kalanya pula sesuatu persamaan itu bersifat natural tetapi ia tidak bersifat terdekat. Persamaan-persamaan natural ini menghasilkan gaya terjemahaan Melayu yang natural. Gaya terjemahan natural sedikit pun tidak berbau terjemahan, apabila ia saling tak tumpah seperti karya asli.

Dalam contoh 2 di atas, race boleh juga diertikan sebagai bangsa, puak, orang, kaum, keturunan dan sebagainya. Terjemahaan di atas menggunakan kaedah persamaan leksikal yang paling hampir dengan konteks teks yang diterjemah.

2.2 KAEDAH ADAPTASI (PENYESUAIAN)

Kaedah seterusnya ialah adaptasi atau penyesuaian yang merupakan kaedah yang menggabungkan beberapa kaedah seperti modulasi, transposisi, dan persamaan.

Kebiasaannya, kaedah adaptasi dilakukan jika terdapat perbezaaan budaya antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Kaedah ini dianggap sebagai kaedah terjemahan yang paling bebas.

Adaptasi boleh dilihat dengan lebih jelas dalam terjemahan seperti rancangan TV atau filem, di mana perbualan atau rujukan budaya mesti disesuaikan untuk penonton asing. Kaedah ini memperlihatkan teks diolah menggunakan makna yang berlainan dengan makna leksikal, tetapi setelah dibaca keseluruhan teks, pembaca atau penerima akan dapat menangkap atau memahami makna yang ingin disampaikan.

Contoh 1:

Bahasa Inggeris - Green house - Social sceince - Yellow culture

Bahasa Melayu - Rumah hijau - Sains sosial - Budaya kuning


Adaptasi berlaku apabila kemasukan istilah pinjaman tetapi istilahnya sahaja yang diterjemahkan. Terdapat dua jenis adaptasi, iaitu pertama, peniruan penyampaian yang tidak mengubah struktur bahasa sasaran seperti green house diterjemahkan sebagai rumah hijau, social science - sains sosial,  yellow culture - budaya kuning (sekadar menyebut beberapa contoh).

Kedua, peniruan struktur yang memasukkan lantas mewujudkan struktur baru dalam bahasa sasaran misalnya prime minister diterjemah sebagai perdana menteri, dan mini bus - bas mini. Kata pinjaman peniruan ini digolongkan sebagai kata majmuk yang dipinjam dan disesuaikan dengan pola sintaktik dalam bahasa Melayu.

Contoh 2:

Teks Sumber - Like a fish out of water
(One who does not feel comfortable in a new environment).

Teks Sasaran - Seperti cacing kepanasan
(tidak tenang, selalu gelisah dan sebagainya).

Selanjutnya kita lihat pula kaedah adaptasi yang kedua. Peribahasa atau simpulan bahasa tidak boleh diterjemahkan secara literal atau secara peniruan kerana ia mempunyai maksud yang bersifat kebudayaan.

Menurut Ainon Mohd dan Abdullah Hassan (2008), simpulan bahasa ialah bentuk ungkapan yang unik yang terdapat dalam sesuatu bahasa. Salah satu punca sukarnya menterjemah simpulan bahasa adalah disebabkan makna sesuatu simpulan bahasa itu tidak mungkin dapat diteka daripada susunan ayat itu.

Sebagai contoh, dengan menggunakan tek sumber, “Like a fish out of water” bukan bermaksud “seperti ikan yang keluar dari air” tetapi makna sebenar dalam bahasa sasaran adalah “seperti cacing kepanasan” iaitu dalam keadaan tidak tenang atau sentiasa dalam kegelisahan. Dalam konteks ayat di atas, ia disesuaikan dengan makna yang ada dalam Bahasa Melayu.

3.0 KAEDAH GENERALISASI DAN MODULASI

3.1 KAEDAH GENERALISASI

Kaedah generalisasi merupakan kaedah yang paling mudah dan ringkas. Kaedah ini merupakan kaedah yang menjadikan makna terjemahan lebih umum atau tidak khusus. Namun kaedah ini hanya boleh digunakan seandainya pengabungan atau mengelompokkan beberapa hal yang khusus kepada umum, dimana makna terjemahan tersebut tidak mengubah mesej teks asal.

Contoh 1:

Teks Sumber - Mereka akan dijamu dengan durian, rambutan, duku dan langsat - Lembu, kambing, ayam, itik.

Teks Sasaran - Some local fruits will be serve to them - Farm animals

Dalam contoh 1 di atas, ia merupakan satu kaedah yang mengelompokkan beberapa hal yang khusus kepada umum. Contohnya seperti buah durian, rambutan, duku dan langsat dikelompokkan atau dinamakan sebagai buah-buahan tempatan (local fruits) jika diterjemahkan dalam konteks di negara Malaysia. Jenis buah-buahan mungkin berbeza jika ditafsir apabila berada di luar negara, sekiranya diterjemah dalam konteks yang sama. Manakala binatang seperti lembu, kambing, ayam dan itik pula dikategorikan sebagai haiwan ternakan (farm animals). Di sini jelas, ayat di atas telah diterjemah secara generalisasi iaitu mengelompokkan ayat dalam teks asal, tanpa mengubah maknanya.

Contoh 2:

Teks Sumber: “More than 10,000 people were left homeless after their homes either washed away, flooded or toppled,” he said.

Teks Sasaran: “Lebih 10,000 orang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka runtuh,” katanya.

Dalam contoh 2 pula menunjukkan dengan jelas bahawa kaedah generalisasi telah digunakan semasa proses penterjemahan. Dalam ayat di atas, teks sumber telah diringkaskan hingga menjadi lebih pendek dalam bentuk teks sasaran. Beberapa maklumat telah digugurkan menyebabkan teks sasaran menjadi lebih ringkas.

Dalam contoh ini, frasa “either washed away, flooded or toppled” telah diringkaskan kepada “runtuh” sahaja.

3.2 KAEDAH MODULASI

Secara amnya, kaedah ini menunjukkan perbezaan antara dua bahasa dalam situasi yang sama tetapi cara pemikiran berbeza. Modulasi digunakan untuk tujuan yang sama seperti tranposisi iaitu untuk menyampaikan maklumat dengan gaya bahasa yang paling bersahaja dan mudah difahami. Kaedah modulasi boleh digunakan apabila terjemahan yang terhasil tidak menepati hukum tatabahasa, janggal atau menyimpang maknanya walaupun terjemahan secara literal atau tranposisi telah digunakan.

Dengan menggunakan kaedah modulasi, dimana ia mengubah keseluruhan ayat atau struktur ayat untuk mendapat kefahaman dalam bahasa sasaran. Ia tidak lagi menterjemah satu persatu tetapi menterjemah sebagaimana ia faham akan sesuatu teks tersebut supaya pembaca dapat memahami teks tanpa ada kejanggalan dan sebagainya.

Dalam kaedah ini, terdapat perubahan dari segi semantik (makna) pada peringkat leksikal tetapi wartanya tetap tidak berubah. Begitu juga penyampaian boleh ‘negatif’ dalam bahasa sasaran tanpa menjejaskan makna. Kaedah ini digunakan apabila konsep yang ada dalam bahasa sumber bertentangan dengan konsep yang ada dalam bahasa sasaran.

Contoh 1:

Bahasa sumber: Saturday night.

Bahasa sasaran: Malam minggu.

Jika bahasa sumber seperti di atas, hanya menggunakan frasa tunggal, “Saturday” diterjemah sebagai Sabtu dan night bermaksud malam. Tetapi apabila perkataan tersebut berganding dengan perkataan lain seperti “Saturday night”, maka bagi menyesuaikan makna yang lebih tepat ke dalam bahasa Melayu ia diterjemah sebagai “Malam minggu” dan bukannya “Malam Sabtu”.

Contoh 2:

Bahasa sumber: In either case, the energy that we obtain ultimately originates from starch.

Bahasa sasaran: Dalam kedua-dua hal, tenaga yang kita peroleh pada peringkat akhir berasal dari kanji.

4.0 KAEDAH PENYAMAAN FUNGSIAN

Dalam mentafsir makna teks sumber, penterjemah juga harus mentafsir makna pada peringkat ungkapan, yakni peringkat frasa. Ini bermaksud penterjemah akan menterjemah satu frasa demi satu frasa.

Penyamaan fungsian merujuk kepada proses meneutralisasi atau mengeneralisasi kata dalam bahasa sumber yang ingin diterjemahkan.

Kaedah ini merupakan kaedah yang menterjemah fungsi warta supaya dapat memberi reaksi yang sama kepada pembaca terjemahan seperti reaksi yang diterima oleh pembaca teks sumber.

Keperluan menggunakan kaedah terjemahan penyamaan fungsian juga terhasil daripada situasi yang terdapat dalam bahasa sumber dan penterjemah perlu mencari padanan fungsi yang sesuai dalam bahasa sasaran.

Dalam keadaan tertentu, kaedah penyamaan fungsian juga boleh digunakan dalam simpulan bahasa, perumpamaan atau peribahasa dalam bahasa sumber.

Contoh 1:

Bahasa sumber - As like as two peas

Bahasa sasaran - Bagai pinang dibelah dua

Dalam contoh 1 di atas, ayat “as like as two peas” merupakan simpulan bahasa di dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bermaksud “seperti dua kacang”, kerana apabila diterjemah dengan padanan fungsi yang sesuai, ia membawa maksud “bagai pinang dibelah dua” yang mana ia merujuk kepada “pasangan yang sama padan” atau “pasangan sepadan”.

Ungkapan ini merupakan ayat perumpamaan dalam masyarakat Melayu, oleh itu kita tidak boleh menafsir makna ungkapan berkenaan berdasarkan makna kata-kata yang membentuknya. Contoh ayat perumpamaan berikut iaitu “wang panas”. Wang panas tidak boleh diterjemahkan sebagai “hot money”, kerana dalam bahasa Melayu “wang panas” membawa makna kiasan “mendapat duit dengan cara mudah, sama ada melalui amalan rasuah atau hasil sogokan”.

5.0 KAEDAH PENGEMBANGAN (EXPANSION)

Kaedah pengembangan merupakan kaedah yang menghuraikan dan memperjelaskan warta dengan panjang lebar bagi pemahaman pembaca terjemahan. Kaedah ini juga digunakan dengan memasukkan maklumat-maklumat tambahan bagi menjelaskan aspek-aspek yang tiada dalam budaya bahasa sasaran. Dan biasanya ia melibatkan konsep saintifik atau istilah yang tidak terdapat dalam budaya bahasa sasaran. Pengembangan boleh dilakukan dengan menambah huraian dalam bentuk nota kaki sebagai huraian tambahan terhadap teks yang diterjemah.

Contoh 1:

Teks Sumber Unbelievable!...

Teks Sasaran Sungguh tidak disangka-sangka!... atau Amat memeranjatkan!...

Dalam contoh 1 di atas, teks bahasa sasaran menggunakan frasa dalam menterjemah satu bentuk kata.

Contoh 2:

Teks Sumber - Local Area Network (LAN).

Teks Sasaran - Rangkaian kawasan tempatan.
(Adalah sekumpulan komputer dan peranti yang berkaitan yang berkongsi talian komunikasi biasa atau pautan tanpa wayar ke pelayan).

Dalam contoh 2 di atas, maklumat yang diberikan dalam bentuk nota kaki untuk menjelaskan makna terjemahan perkataan, kerana tanpa penjelasan perkataan terjemahan, perkataan tersebut sukar difahami dengan baik oleh pembaca. Ini adalah teks mengenai rangkaian komputer yang menghubungkan komputer dan perkakasan yang disambungkan ke pelayan dalam kawasan geografi yang berbeza seperti pejabat atau penubuhan komersil. Komputer dan peranti mudah alih lain menggunakan sambungan LAN untuk berkongsi sumber seperti pencetak atau storan rangkaian. Tanpa penjelasan ini mungkin orang akan jadi keliru dan sukar memahami maksudnya.

6.0 RINGKASAN

Kaedah terjemahan merupakan medium yang paling penting dalam proses penterjemahan. Proses penterjemahan yang baik memerlukan kaedah-kaedah yang tertentu bagi menghasilkan suatu terjemahan yang menepati kehendak pembaca sasaran. Jelas sekali penterjemahan merupakan salah satu kaedah untuk memperoleh ilmu, terutamanya ilmu mutakhir dalam pelbagai bidang.

Terdapat dua kaedah dalam penterjemahan iaitu kaedah lama (kaedah formal) dan kaedah baru (kaedah dinamis).

Jika dibandingkan diantara dua kaedah di atas, kaedah dinamis merupakan suatu terjemahaan yang saintifik. Kaedah ini dapat menangani kepelbagaian karenah linguistik kerana dapat memberikan hasil terjemahan yang mudah, bersahaja tetapi tetap dapat menyampaikan maksud dengan pilihan perkataan yang tepat dan mudah, serta jelas.

Kesimpulannya, pemilihan kaedah yang sesuai bagi penterjemahan banyak bergantung kepada berbagai-bagai faktor iaitu ringkas atau kompleks sesuatu teks, jenis atau fungsi teks (risalah, am atau tenikal), bidang teks (sastera, agama, sains atau teknikal) dan peringkat teks untuk kanak-kanak, sekolah rendah atau sekolah menengah atau pengajian tinggi.

Justeru, seorang penterjemah haruslah berhati-hati dan peka dalam memilih kaedah yang sesuai. Adakalanya kaedah-kaedah tersebut boleh digabungkan dan ada kalanya terpisah.

Akhir sekali, tidak ada dua bahasa yang mempunyai perkataan-perkataan nahu yang sama banyak dengan makna dan fungsi yang serupa. Oleh itu, berhati-hatilah apabila menterjemahkan perkataan nahu daripada apa-apa jua bahasa ke dalam bahasa Melayu ataupun sebaliknya




APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI

Kamus Dewan Edisi Keempat (2013). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Ainon Mohd. (2007). Panduan Menterjemah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ainon Mohd dan Abdullah Hassan (2008). Teori dan teknik terjemahan. Kuala Lumpur: PTS Publications and Distributors.

Peter Newmark (1988). A Textbook of Translation. UK: Prentice Hall International.

Nida, E.A. (1969). The Theory and Practice of Translation. Leiden: Brill.

Norizah Ardi. (2009). Pengantar prinsip penterjemahan. August Publishing Sdn. Bhd.

John Cunnison Catford. (1996). Teori linguistik bagi penterjemahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shamsuddin Ahmad. (2007). Kamus Peribahasa Inggeris - Melayu. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Puteri Roslina Abdul Wahid. (2012). Menelusuri peristilahan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Puteri Roslina. (2007). Pengantar Penterjemah Bahasa Melayu. University Malaya: Scholar Press Sdn. Bhd.

Hasuria Che Omar, Rokian Awang, Syed Zainal Ariff Syed Jamaluddin & Noriah Mohamed (2009). Bahasa Verbal dan Bukan Verbal 1: Komunikasi, Pendidikan dan Perterjemahan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Hawkins, Joyce M. ( 2006). Kamus Dwibahasa Inggeris-Melayu, Melayu-Inggeris Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Terbitan Oxford Fajar.

SearchNetworking. Local area network (LAN). Diambil dari:
http://searchnetworking.techtarget.com/definition/local-area-network-LAN

The Free Dictionary. A fish out of water. Diambil dari: https://idioms.thefreedictionary.com/a+fish+out+of+water

Tiada ulasan:

Catat Ulasan