Isnin, 20 Mac 2017

PENULISAN KREATIF (ABMS 4103)

1.0         PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998), mendefinisikan karya bermaksud buatan atau ciptaan hasil seni dan lain-lain. Manakala berkarya pula membawa maksud menghasilkan karya dalam bentuk tulisan, ciptaan, gubahan dan sebagainya.

Dalam karya sastera, penulis menggunakan unsur metafora, simile, anafora dan banyak lagi sebagai ganti ungkapan langsung. Di situlah letaknya keunikan karya sastera. Yang paling penting, karya sastera memerlukan sentuhan kreativiti yang tersendiri. Oleh itu, tidak hairanlah apabila karya puisi merupakan karya yang penuh dengan bahasa berseni yang indah, sesuai dengan peniruan alam seperti definisi seni oleh Plato.

Baik cerpen mahupun novel atau drama, setiap genre sastera ini memerlukan sentuhan seni yang tersendiri. Bahasa berseni dikatakan hadir dalam sastera kerana ditulis oleh pengkarya dengan sentuhan seni yang tinggi. Terdapat pelbagai bentuk yang boleh diterapkan dalam sastera bagi menyampaikan perasaan atau amanat penulis, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Misalnya, penggunaan bahasa berkias untuk mengkritik sistem pendidikan, politik, ekonomi atau sosial dalam sesebuah tamadun bangsa.

Inilah antara ciri-ciri karya sastera yang dihasilkan oleh penulis terkenal iaitu A.Samad Said.


2.0       LATAR BELAKANG KEHIDUPAN PENGARANG A. SAMAD SAID

A. SAMAD SAID atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said. Beliau juga dikenali dengan panggilan Pak Samad. Beliau merupakan seorang Sasterawan Negara yang banyak menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan dunia sastera negara sejak awal pembabitannya dalam penulisan sastera.

Beliau dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka dan menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946), Victoria Institution sehingga memperolehi Sijil Senior Cambridge (1956).

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad Said sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang dan Han Suyin telah diketemuinya.
 
Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja. 

Samad Said kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat  di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman  di bawah Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu  waktu itu berpindah sama, Samad Said juga turut berhijrah.  A. Samad Ismail, Pengarang Berita Harian ketika itu, telah memujuk Samad Said agar menyertai Berita Harian.
 
Di sekitar tahun 1960-an Samad Said sekali lagi bertukar kerja.  Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits Times,  Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian.  Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan, beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian.  Tetapi Samad Said menyedari bahawa minatnya dalam bidang penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya.  Justeru, beliau minta dibebaskan daripada menjadi Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978. Samad Said bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature.  Sejak akhir 1981, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Tebrau.
 
Jawatan terakhir Samad Said ialah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur.
 
Pencapaian dan sumbangan beliau dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976 bersama beberapa pengarang lain beliau telah diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.

Tahun 1979 turut memberi erti pada beliau, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award).

Kemuncak pencapaian Samad Said sebagai sasterawan ialah apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu telah dipentaskan sedutan drama terbaru Samad Said berjudul Wira Bukit. (www.dawama.com).

Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran ‘Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.


3.0       KARYA YANG DIHASILKAN

A. SAMAD SAID seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.  Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka. Sumbangan beliau kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.

Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.  Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad Said membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.
 
Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad Said berupaya menghasilkan pelbagai genre; sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.
 
Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad Said berkata: “... kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

Kini Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan. Dalam bidang penulisan, beliau turut menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.

Membaca karya Samad Said, kebanyakannya ia melakarkan sejarah pahit maung dan peristiwa berkaitan yang telah dilaluinya lalu diterapkan dalam novel-novelnya.

Diantara  hasil karya-karya beliau yang cukup terkenal seperti novel ‘Salina’ dan ‘Sungai Mengalir Lesu’ sehingga ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

            3.1       SALINA

Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.  Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh Samad Said sewaktu beliau baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis lama dengan baru dan antara Samad Said dengan penulis-penulis 50-an.

Novel Salina telah diterjemahkan oleh Harry Aveling pada 1976 tetapi versi Bahasa Inggeris gagal merakamkan jiwa dan kisah yang berlaku di Kampung Kambing.

Hawa Abdullah telah menterjemahkan novel ini ke dalam versi Bahasa Inggeris dan diterbitkan oleh DBP pada 1991. Lalitha Sinha pula mensifatkan ianya sebagai masih “canggung”. Akhirnya, Lalitha sendiri melakukan terjemahan “paling baik” dan novel terjemahan kali ketiga itu diterbitkan oleh ITBM pada 2013.

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota dan pergelutan untuk melangsungkan survival di tengah-tengah kehancuran kehidupan selepas perang.

Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya.  Novel ini telah diadaptasi menjadi bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan kemudiannya di Singapura.

            3.2       SUNGAI MENGALIR LESU

Seperti Salina, novel Sungai Mengalir Lesu adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum masyarakat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan beberapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, Sungai Mengalir Lesu juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah manusia yang amat berharga.

Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri Samad Said yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi.  Beliau mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Sungai Mengalir Lesu adalah karya (novel) yang paling disenangi oleh Samad Said. Perkara ini dapat diperhatikan sekiranya novel berkenaan diteliti sebagai karya yang merakamkan jiwa dan pengalaman pengarang.

Bab kedua yang bermula dengan kisah barisan tawanan perang semasa British menyerah kalah (Februari 1942) tidak syak lagi adalah berdasarkan apa yang dilihat sendiri oleh Samad Said (pada usia kanak-kanak) di hadapan rumahnya di Victoria Street, Singapura.

Ternyata Sungai Mengalir Lesu adalah faksyen (faction) di mana fakta, sejarah, pengalaman dan kejadian sebenar difiksyenkan dengan bauran imaginasi. Sebagai seorang seniman dan sasterawan, tentulah pengkisahan “sejarah” itu dipengaruhi pula oleh emosi; apatah lagi Samad Said melalui sendiri kebanyakan peristiwa cemas (1942-1945) yang disajikan menerusi karya ini.

Selepas diterbitkan oleh Pustaka Gunung Tahan, Kuala Lumpur pada 1967, novel ini diterbitkan kali kedua pada 1975 oleh Pustaka Nasional Singapura. DBP pula sudah banyak kali menerbitkan dan mengulang cetak novel ini sejak 1984.


4.0   SUMBANGAN KARYA PENGARANG TERHADAP MASYARAKAT DAN PENULISAN KREATIF

Sejak di awal pembabitannya dalam bidang sastera, A. Samad Said telah banyak menghasilkan karya yang bermutu dan menjadi karya tersohor di seluruh negara. Pelbagai genre karya telah dihasilkan termasuklah novel, puisi, cerpen, drama, esei dan warkah.

Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina (novel), Sungai Mengalir Lesu (novel), Di Hadapan Pulau (novel), Langit Petang (novel), Hujan Pagi(novel), Lantai T.Pinkie (drama), Benih Semalu (puisi), Benih Harapan (puisi), Warkah Eropah (warkah), Al-Amin (puisi), Rindu Ibu (puisi) dan lain-lain lagi.

Sumbangan beliau terhadap masyarakat dan penulisan kreatif amat besar jasanya. Karya yang beliau hasilkan mengandungi unsur-unsur ‘nilai didaktik (pengajaran)’. Jika diteliti, kebanyakan hasil sentuhan karya beliau banyak ‘menggunakan bahasa sastera yang indah’. Dengan adanya hasil karya seperti ini, mampu menjadikan masyarakat terutamanya penulis muda kreatif ‘memupuk budaya berilmu’. Karya-karya beliau seharusnya dijadikan sebahagian dari ‘sumber rujukan’ bagi penulis-penulis baru. Dengan pengalaman beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh buah buku, maka tidak hairanlah sehingga beliau telah dianugerahkan gelaran sebagai ‘Sasterawan Negara.’ 

4.1       MEMUPUK nilai MURNI didaktik (pengajaran)

Sumbangan beliau kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu.

Selain dari penggunaan bahasa yang indah, disamping ada hiburan di dalamnya, sentuhan karya Samad Said menyelitkan juga dengan unsur didaktik dan mendidik. Elemen inilah yang menjadikan karya beliau begitu bernilai.

Banyak pengajaran yang boleh dikutip dari hasil karya beliau. Sebagai contoh, dari novel terkenal beliau iaitu Salina. Membaca Salina sudah tentu membaca tentang keciciran anak-anak dalam persekolahan, perempuan yang bekerja di sektor tidak formal sebagai tukang cuci, pelayan, pelacur, lelaki yang ganas dan peminum.

Cerita Salina semacam mahu mengatakan bahawa mereka yang terpinggir itu tidak dibela ‘orang besar’ atau pihak yang mempunyai kuasa. Penguasa hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah mengotakannya (Hanafi Dollah, 2013).

Sebagai contoh, apabila waktu pilihanraya mereka dijanjikan bermacam-macam waima bulan dan bintang tetapi selepas memenangi pilihanraya, penyokong tetap dipinggirkan.

Daripada cerita tersebut, dapatlah dikutip dari pengajarannya adalah, kita jangan terlalu mengharap, sebaliknya perlu berusaha sendiri dengan gigih jika mahu berjaya dalam hidup ataupun mengubah taraf hidup keluarga.
 
Sebenarnya, banyak lagi karya-karya beliau yang mempunyai unsur-unsur nilai pengajaran yang baik boleh diterjemah ke dalam kehidupan seharian kita pada hari ini.
   
4.2       MENGGUNAKAN BAHASA SASTERA YANG INDAH

Gaya bahasa setiap penulis berbeza dan menentukan penampilan karya antara penulis. Gaya Samad Said tidak sama dengan gaya Shahnon atau Othman Puteh umpamanya (Ghazali Din, 2014).

Bahasa dan sastera tidak dapat dipisahkan. Sastera tidak akan hidup tanpa bahasa. Bahasa sastera pula akan hambar tanpa sentuhan seni yang efisien. Dalam medium penerbitan, terdapat banyak karya sastera yang hadir dengan sentuhan bahasa yang baik.

Jika diteliti, hampir keseluruhan karya-karya Samad Said mengandungi gaya bahasa yang indah, tersusun dan mantap seperti yang digambarkan di atas.

Antara contoh gaya bahasa yang menarik yang digunakan oleh beliau seperti dalam puisinya, ”Hidup Bersama”.

Kita sudah sampai di lereng amat indah,
di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Terdapat 2 gaya bahasa ’metafora’ yang digunakan dalam puisi tersebut contohnya – menara kebahagiaan dan di lereng indah. Ia mengandungi bahasa kiasan atau perbandingan yang terdiri daripada dua perkataan, bersifat konkrit (nyata) dan satu perkataan lagi bersifat abstrak (tidak nyata). Ia juga banyak mengunakan unsur ’imejan’ iaitu pengunaan unsur alam seperti pelangi, gunung, tasik, bumi dan awan.

Jenis puisi yang disampaikan adalah jenis ’satira’ iaitu jenis kritik atau sindiran manakala nada dalam puisi ini pula menggunakan nada ’sinis’ iaitu kurang senang kerana tidak mempersetujui.

Perkara yang perlu diberi perhatian dalam pemilihan perkataan antaranya jenis kata-kata yang dipilih, kesesuaian perkataan dengan kaitan tema cerita dan penggunaan perkataan mudah difahami.

Tidak hairanlah jika Samad Said menyemak sesuatu karya sehingga berulang kali sebelum ianya hendak diterbitkan. Ada ketikanya, beliau sanggup menyemak atau mengedit sehingga lebih 20 kali bagi menghasilkan karya yang terbaik. Karya beliau tidak perlu dipertikaikan lagi oleh kerana ianya sememangnya bermutu (Che Zainon, 2014).
  
4.3       MEMUPUK BUDAYA BERILMU

Dengan adanya bahan-bahan bacaan berkualiti yang dihasilkan dari semasa ke semasa seperti karya A. Samad Said dan seumpamanya, ianya menambahkan lagi  sumber bahan bacaan. Ilmu dari bahan bacaan inilah yang perlu dikutip dan dipelajari kerana secara tidak langsung ia memupuk budaya berilmu.

Samad Said mempunyai kaedah tersendiri bagi menarik minat anak-anak muda terutamanya penulis-penulis baru untuk meminati budaya berilmu. Sebagai contoh, beliau senang bergaul dengan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi dengan penulis muda yang berbakat.

Beliau tidak lokek ilmu, oleh sebab itu dia jarang menolak pelawaan penulis muda dalam bengkel-bengkel penulisan.

Pesan Samad Said kepada penulis muda “Nak jadi penulis, kena rajin membaca,” itulah antara nasihat yang selalu diulanginya berkali-kali (Awang Abdullah, 2001).

Untuk melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan, masyarakat harus membaca karya-karya yang bersifat ilmiah dan sejarah negara.

Sebagai contoh; untuk memupuk budaya berilmu, beliau sendiri membaca novel 10 ke 12 buah buku dalam sehari. Inilah cara beliau untuk menambah ilmunya dalam proses pengkaryaannya. Sesungguhnya, itulah yang patut menjadi contoh serta ikutan bagi penulis baru sebagai role model untuk berjaya dalam bidang lapangan penulisan kreatif.

4.4       SUMBER RUJUKAN

Menjadi penulis yang berjaya bukanlah sesuatu perkara yang mudah tanpa ada ilmu pengetahuan yang mendalam, minat serta sumber rujukan khusus.

Penulis-penulis sekarang beruntung kerana mereka sangat mudah untuk mendapatkan sumber bahan rujukan terutamanya bagi genre penulisan kreatif. Banyak karya-karya tersohor yang telah dihasilkan oleh penulis-penulis terdahulu dan diantaranya adalah dari karya Samad Said sendiri.

Dengan adanya karya-karya besar seperti ini, ia akan menjadi sumber rujukan ilmu untuk generasi dan penulis-penulis akan datang.

Buku-buku karangan Samad Said mampu memberikan panduan dan sumber rujukan kepada penulis-penulis muda dan baru yang mahu berjinak-jinak dalam menceburi dunia penulisan kreatif. Samad Said banyak menghasilkan dalam genre karya novel, cerpen, puisi atau sajak.

Walaupun Samad Said telah bergelar Sasterawan Negara, namun beliau sendiri pun masih mencari-cari sumber rujukan dari pengkarya-pengkarya terkemuka yang lain demi memperoleh dan menambahkan lagi sumber inspirasi beliau.

Memahami proses kreatif pengarang yang sudah berjaya dapat membantu penulis muda untuk meneruskan perjuangan menjadi pengarang hebat seperti Samad Said yang sebaris dengan tokoh-tokoh lain. Keunikan, keistimewaan dan keikhlasan Samad Said berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini.


5.0       KESIMPULAN

Ketokohan A. Samad Said sebagai tokoh pengarang kesusteraan amat menonjol dan tidak dapat disangkal lagi kerana mampu menguasai semua genre sastera. Beliau memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki oleh semua penulis.

Pada pendapat saya, itu satu anugerah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada Samad Said dan tidak kepada semua orang.

Sumbangan keilmuannya sebagai seorang tokoh Sasterawan Negara, sekurang-kurangnya dapat memberi sumber insipirasi atau contoh ikutan yang berguna serta memberi semangat dan motivasi kepada pembaca khususnya para remaja dan tidak terkecuali untuk penulis-penulis muda dan baru.

Setiap karya yang beliau hasilkan begitu jelas dan amat berkesan sekali.  Tema yang menyentuh keadilan sosial seringkali beliau bawa dalam watak-watak kehidupan manusia sejagat. Oleh sebab itu beliau dianggap sebagai penulis yang berjaya menghidupkan watak-watak.

Beliau juga berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas.

Sumbangan karyanya dalam penulisan kreatif serta aktiviti-aktiviti dalam kegiatan kesusteraan amat diperlukan secara berterusan demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai agenda utama negara.









RUJUKAN / REFERENSI

Ghazali Din. (2014). Penulisan Kreatif. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Dharmawijaya. (2005). A. Samad Said: Sebuah antologi puisi yang menghimpunkan karya-karya selama lebih setengah abad. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Awang Abdullah. (2001). Biografi Sasterawan Negara A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Said. (1967). Sungai Mengalir Lesu. Kuala Lumpur:  Pustaka Gunung Tahan.

A. Samad Said. (1961). Salina.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Quran – (Surah Al-Qasas, 28: 77).


Rujukan internet


Ahad, 19 Mac 2017

BAHASA MELAYU PENULISAN (ABML3103)

1.0       PENGENALAN

Penulisan merupakan satu bidang yang amat penting dalam menyampaikan maklumat berbentuk teks. Ia boleh bertindak sebagai satu jenis wacana yang dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk yang asas. Alat-alat kepengarangan pula merujuk kepada teknik-teknik dan kaedah penulisan yang berkesan dalam sesebuah karangan. Ia bukanlah semata-mata pen, pensil, pembaris dan buku serta alat-alat atau medium yang digunakan ketika penulisan.

Menulis ditakrifkan sebagai proses penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat. Ayat yang disusun pula, ada kalanya panjang dan ada kalanya pendek berdasarkan beberapa urutan yang bermakna yang membentuk teks, nota, draf dan bahan bercetak.

Kamarudin Husin (1999) mentakrifkan penulisan sebagai pelahiran perasaan, fikiran dan idea dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik itu disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya.Takrif lain menyebutkan menulis sebagai suatu kegiatan penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun atur menjadi perkataan-perkataan, yang seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna.

Kemahiran menulis dan mengarang merupakan sebahagian daripada kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar ketika di bangku sekolah lagi kerana sebahagian daripada pendidikan formal memerlukan kerja menulis dan mengarang sebagai faedah untuk menyampaikan maklumat, idea, perasaan dan pendapat. Kaedah ini bukan sahaja terdapat dalam mata pelajaran lain seperti kesusasteraan, sejarah, ilmu alam, sains, ekonomi dan sebagainya. Hal ini demikian kerana semua mata pelajaran itu memerlukan kecekapan pengucapan idea, fakta dan hujah dalam bentuk tulisan (Awang Mohamad Amin, 1983: 18).

2.0       TUJUAN PENULISAN KARYA

Tugas menulis merupakan aktiviti yang kompleks. Oleh sebab itu, menulis dalam apa jua bahasa pun merupakan aktiviti mental yang kompleks dan melibatkan kemahiran menyelesaikan masalah serta kebolehan berkomunikasi. Tambahan pula, penulisan melibatkan kemahiran menulis untuk pelbagai tujuan dan konteks. Ia bukan hanya setakat mempelajari struktur dan perbendaharaan kata sesuatu bahasa itu sahaja.

Pada dasarnya, setiap penulisan yang dihasilkan mempunyai beberapa tujuan dan maksud tertentu. Sebagai contoh, untuk memenuhi masa lapang, menjelaskan sesuatu, untuk memberikan arahan, menceritakan kejadian, menyakinkan, penulisan kreatif dan sebagainya.

Tujuan-tujuan penulisan tersebut kadang-kadang berdiri sendiri secara terpisah, tetapi sering pula tujuan ini tidak berdiri sendiri melainkan merupakan gabungan dari dua atau lebih tujuan yang menyatu dalam suatu tulisan. Oleh kerana itu, tugas seorang penulis tidak hanya memilih topik pembicaraan yang sesuai atau serasi, tetapi juga harus menentukan tujuan yang jelas. Penentuan tujuan menulis sangat erat hubungannya dengan bentuk atau jenis-jenis tulisan atau karangan.

Menurut Hugo Hartig (dalam Tarigan, 1994:24-25) mengklasifikasikan terdapat tujuh tujuan penulisan, antara lain tujuan tugasan (assingnment purpose), tujuan altruistik (altruistic purpose), tujuan meyakinkan (persuasive purpose), tujuan penerangan (informational purpose), tujuan pernyataan diri (self-expressive purpose), tujuan kreatif (creative purpose), dan tujuan menyelesaikan masalah (problem-solving purpose).

Manakala menurut Diane M.Barone, et al. (2006) dalam bukunya Improving Student Writing, K-8, From Meaning – Making to High Stakes, telah menggariskan sebanyak 18 tujuan manusia menulis iaitu;

a.         Untuk Belajar
b.         Untuk Memberitahu
c.         Untuk Menggambarkan
d.         Untuk Meyakinkan
e.         Untuk Menghiburkan
f.          Untuk Menghubungkan Maklumat Baru dengan Idea-idea yang Lama
g.         Untuk Memikirkan dan Menyemak Semula Idea-idea
h.         Untuk Umum
i.          Untuk Menganalisis
k.         Untuk Menjelaskan Hubungan
l.          Untuk Menjelaskan Isu-isu yang Mudah kepada Isu yang Kompleks
m.        Untuk Menyelesaikan Masalah
n.         Untuk Membuat Permintaan
o.         Untuk Mengingat
p.         Untuk Mencerminkan/Refleksi
q.         Untuk Menunjukkan Pengetahuan
r.          Kefahaman dan Untuk Meningkatkan Kemahiran Menulis

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa daripada pendapat di atas, tujuan menulis yang utama adalah untuk tujuan menghiburkan, informasi, tugasan, mendidik dan kreatif.

Sebelum memulakan penulisan sesuatu karya samada penulisan bukan kreatif iaitu bersifat  ilmiah atau penulisan kreatif terdiri daripada cerpen, novel, sajak, drama dan sebagainya manakala pokok perbicaraan iaitu topik perlu ditentukan terlebih dahulu. Pemilihan topik perlu dipertimbangkan dalam beberapa hal kerana ia melibatkan pelbagai kategori pembaca yang harus difikirkan samada ianya untuk kategori remaja, dewasa, golongan tua atau ketiga-tiga golongan tersebut secara serentak. Hal ini penting, agar mesej yang hendak dilontarkan sampai kepada kumpulan sasar seperti yang disebutkan tadi.

Seseorang penulis karangan ilmiah perlu memiliki ketrampilan dan pengetahuan yang tinggi samada dalam teknik penulisan bahan ilmiah, kaedah penelitian, masalah yang diteliti dan penguasaan bahasa yang baik. Manakala bagi penulisan kreatif, ianya lebih bercirikan naratif, berbentuk prosa atau puisi dan bersifat daya imaginasi penulis.

Penulisan yang ditulis untuk disampaikan kepada kelompok tertentu hendaklah menggunakan nada dan gaya yang konsisten. Penulis jangan mengharap pembaca tahu apa yang penulis tahu, namun penulis perlu memegang tangan audiens agar mereka boleh mengikut hujah yang ingin diperjelaskan.

2.1       TUJUAN MENGHIBURKAN

Sesuatu penulisan itu kadang kala dihasilkan semata-mata untuk menghiburkan para pembaca namun sedikit sebanyak ianya juga mampu memberi sedikit ilmu pada mereka yang tahu ‘mencari’ isi yang terkandung di dalamnya.

Penulisan yang baik mampu menghiburkan pembaca dan memberikan impak dan tindak balas terhadapnya. Penulis berupaya menjadikan pembaca gelihati seterusnya membawa rasa gembira dan terhibur. Ini bermaksud, tulisan yang kita buat mampu menjadi sebagai ubat serta penawar, dikala hati sedang berduka atau penat lelah.

Penulisan jenis ini tergolong dalam kategori berunsur humor atau jenaka.

Contohnya, cerita jenaka Melayu yang terkenal iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai dan Lebai Malang.

2.2       TUJUAN INFORMASI

Tujuan menulis juga adalah untuk memberitahu segala maklumat yang baru diperoleh dengan cara olahan atau perkataan sendiri. Ini bertujuan untuk memberi informasi atau keterangan dan penerangan kepada para pembaca.

Para pembaca tidak akan bertanya dan meminta penjelasan sekiranya segala maklumat penting turut disertakan secara terperinci di dalam penulisan tersebut.

Salah satu contoh informasi yang ingin disampaikan adalah seperti butir-butir yang dinyatakan di bawah:

            Tarikh: (bila aktiviti tersebut akan diadakan)
            Masa: (waktu - samada pagi, tengahari, petang atau malam)
            Tempat: (alamat lengkap, lokasi yang telah ditetapkan).

2.3       TUJUAN TUGASAN

Tujuan tugasan ini sebenarnya tidak memiliki tujuan sama sekali. Penulis menulis sesuatu kerana ditugaskan, bukan atas kemahuan sendiri (misalnya para siswa-siswi yang diberi tugasan menghasilkan laporan, rencana dan sebagainya).

Jenis penulisan ilmiah ini disediakan untuk memenuhi syarat bagi memperolehi pengakuan tingkat kesarjanaan dalam sesuatu pendidikan peringkat universiti. Kertas projek biasanya disiapkan untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda sementara tesis pula disediakan untuk mendapatkan Ijazah Sarjana atau Master.

2.4       TUJUAN MENDIDIK

Salah satu tujuan menulis juga adalah mendidik, maka hasil dari tulisan (seharusnya) boleh meningkatkan wawasan pengetahuan, mengasah kecerdasan dan mengubah perilaku pembaca.  Meskipun solusi yang ditawarkan setiap penulis berbeza untuk suatu masalah yang sama namun ianya tetap akan menjadi bahan pertimbangan pembaca.

Dalam situasi ini, penulis sedaya upaya mahu membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

2.5       TUJUAN KREATIF

Penulisan kreatif ialah apa-apa penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan dan emosi untuk mencapai nilai-nilai artistik kesenian berbanding dengan hanya memberikan maklumat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai pengungkapan pemikiran dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, unik dan indah bunyinya.

Sebagai contoh, penulis menulis (cerpen, novel atau drama) bukan untuk menjadi pujaan tetapi untuk menterjemahkan imaginasi atau dari pengalaman yang dialami sendiri oleh penulis untuk dikongsi bersama. Beberapa buah buku yang sangat popular dalam kategori penulisan kreatif seperti ‘Seorang Tua Di Kaki Bukit’ karya Azizi Haji Abdullah, Aku Anak Timur’ karya Siti Aminah Haji Yusof dan lain-lain lagi.

3.0       ALAT-ALAT PENULISAN

Alat merupakan apa-apa benda, barang yang diperlukan dan digunakan apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Ia merupakan elemen yang digunakan untuk menyiapkan sesuatu. Alat-alat kepengarangan pula merujuk kepada alat-alat penulisan iaitu cara-cara atau kaedah yang digunakan untuk menyampaikan idea atau buah fikiran untuk disampaikan kepada pembaca. Antara alat-alat kepengarangan atau disebut juga alat-alat penulisan yang dimaksudkan ialah pentakrifan, penamsilan, perbandingan, pencerakinan, percontohan, petikan dan anekdot.

Alat-alat yang digunakan seharusnya menepati idea olahan oleh pengarang. Ia dapat mengembangkan penulisan serta dapat menjana minda pembaca ketika membaca buku teks. Jadi, buku teks tersebut mestilah memenuhi kriteria yang diperlukan dengan penekanan kepada alat-alat kepengarangan dengan betul. Jelasnya, gaya persembahan dalam buku teks begitu penting.

3.1       PENTAKRIFAN

Takrif bermaksud keterangan atau penjelasan yang sesingkat mungkin tentang sesuatu perkataan, iaitu bermaksud mentakrif, memberikan atau membuat pendefinisian sesuatu perkataan atau ayat. Ia juga berasal daripada perkataan Arab bermaksud ‘beritahu’. Dalam teks, terdapat banyak cara atau bentuk pentakrifan dibuat.

Takrifan senama melibatkan perkataan senama atau seerti. Ia penting untuk menerangkan sesuatu istilah. Dalam penulisan ini, takrifan jenis ini penting untuk menunjukkan kesesuaian teks yang digunakan oleh pengarang. Takrifan nominal pula disebut takrifan stipulatif kerana ia menyatakan makna sepatutnya yang perlu ditakrifkan. Pengarang harus menggunakannya dengan baik. Penggunaan istilah yang sesuai penting agar pelajar faham maksud yang cuba disampaikan.

Takrifan asal-usul merupakan satu cara untuk mendapatkan makna melalui asal-usul dan sejarah semantiknya. Dalam penelitian teks, pengarang perlu banyak menggunakan takrifan jenis ini untuk memaparkan sesuatu istilah. Takrifan contoh adalah menerangkan perkataan-perkataan abstrak. Contohnya, agama, budaya, bangsa atau kaum, kapitalisme serta istilah yang lebih sesuai.

Takrifan kelas pembahagian pula sebenarnya mula diperkenal oleh Aristotle. Ia dianggap berbeza dan takrifan jenis ini wajar dan sesuai digunakan untuk apa jua keadaan. Pengarang perlu bijak menggunakan takrifan jenis ini untuk menarik perhatian pelajar ketika membaca buku teks. Ia mampu membawa pelajar menyelami maksud yang ingin disampaikan. Takrifan ostensif diterangkan secara nyata. Pengarang cuba menggunakan pentakrifan yang jelas, tepat dan padat.

3.2       penamsilan

Tamsil bermaksud mengumpamakan, membuat perbandingan serta mentafsirkan. Ia merupakan satu jenis perbandingan yang dilakukan dengan memperkenalkan subjek kedua. Pengarang perlu pandai menyesuaikan takrifan yang diberi dalam bab-bab tertentu dalam ayat atau petikan. Pengarang menyatakan alat kepengarangan ini dengan membuat persamaan dan perbezaan. Ia disusun bagi memperkembangkan idea, perlunya membuat fokus dan memperluas bahan dengan cara paling baik untuk mencapai maksud yang cuba disampaikan.

Fungsi utama penamsilan ialah untuk menterjemahkan idea yang abstrak ke dalam istilah yang lebih mudah. Penamsilan yang baik ialah penamsilan logik yang boleh dijadikan alat pemujukan dan bukti sesuatu kesimpulan.

3.3       PERBANDINGAN

Banding bermaksud imbang, tara dan melihat kesamaan dan perbezaan antara sesuatu perkataan atau sesuatu benda. Perbandingan bermaksud melihat persamaan atau perbezaan. Pengarang perlu menyatakan perbandingan antara satu perkara yang berbeza dengan perkara yang lain. Sesuai dengan pelajar Tingkatan Empat, persamaan atau perbandingan mesti dikaitkan dengan jelas. Ia memastikan kebolehan berfikir para pelajar mempelihatkan kebolehan semulajadi mereka. Penerangan yang diberikan oleh pengarang haruslah tidah berbelit-belit.

Walaupun persamaan menekankan ciri-ciri yang sama dan perbezaan pula melihat aspek-aspek yang berlainan tetapi kedua-duanya memainkan fungsi yang sama. Persamaan dan perbezaan melibatkan sekurang-kurangnya dua subjek dan dalam hal ini kita akan menghadapi beberapa masalah termasuklah fokus, organisasi dan perkembangan. Dalam membuat sesuatu perbandingan, fokus mesti diambilkira.

Contohnya, gandingan 3 fokus;

a.         Ibu
b.         Bapa
c.         Ibu dan Bapa

Dalam hal ini, fokus hendaklah cukup jelas kepada pembaca. Ini mestilah ditunjukkan dengan jelas perbezaan dan persamaannya oleh pengarang.

Penulisan pula merujuk kepada penghasilan hasil karangan yang terhasil daripada kepandaian atau kemahiran menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkai kata dan dijadikan bentuk-bentuk ayat yang lebih luas dan dinamik. Penulisan lebih kepada perbuatan menulis atau mengarang, hasil daripada menulis atau mengarang. Bagi memperkembang idea dengan menggunakan perbandingan, kita perlu berfikir dengan teliti untuk membuat fokus, menyusun, dan memperluas bahan dengan cara yang paling baik untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

3.4       PENCERAKINAN

Cerakin bermaksud menyelidik atau menyiasat sesuatu keadaan perbuatan, gejala, ciptaan dan lain-lain untuk mengetahui sebab-sebab (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).

Sesebuah perenggan dianggap sebagai suatu cerakinan kerana untuk menulis sesuatu perkara, ia perlu dicerakinkan dalam bentuk butiran yang lebih khusus. Tujuannya ialah untuk memberitahu mengenai bagaimana sesuatu sistem itu berfungsi menerusi penerangan logik.

Audiens didedahkan dengan ayat yang sesuai atau analisis yang merujuk kepada teknik perkembangan topik. Pengarang menggunakan pencerakinan dengan baik dengan membuat pembahagian kepada beberapa bentuk dan ia memudahkan penumpuan ketika membaca huraian pada setiap babak dalam buku.

Tujuan kaedah ini dilakukan ialah untuk memberitahu pembaca bagaimana sesuatu sistem berfungsi sekiranya penerangan jelas diberikan serta orang lain memahami apa yang dibincangkan oleh pengarang. Dalam kata lain, ia merujuk kepada teknik yang lebih khusus iaitu teknik perkembangan topik dengan memecahkan kepada beberapa komponen.

Pencerakinan melibatkan proses penerangan langkah demi langkah terhadap perkara yang berlaku. Misalnya kebakaran, pencemaran atau proses pertumbuhan. Pencerakinan proses sejarah, sosiologi atau politik melibatkan penerangan yang terperinci supaya dapat memahami kronologi dan logik subjek tersebut.

3.5       PERCONTOHAN

Percontohan ialah satu atau sebahagian yang diberikan untuk memperlihatkan bagaimana rupanya untuk ditiru atau diubahsuai. Ia dilakukan bagi membantu menandakan penulisan yang baik tidak kira apa juga tujuan penulisan itu. Percontohan dalam buku teks menjadi satu klise kepada pelajar. Contohnya, teks mengenai kebakaran. Alat ini juga biasanya menggunakan istilah misalnya, seperti, contohnya dan umpamanya.

Ada juga percontohan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan tersebut. Contoh-contoh tersebut terus dikemukakan untuk mengambarkan sesuatu idea yang dinyatakan. Percontohan berganda adalah satu bentuk pengembangan idea atau perenggan. Percontohan mengembang pula terjadi apabila sesuatu perenggan itu diperluas.

3.6       PETIKAN

Kaedah petikan merupakan alat penulisan yang penting kerana penggunaan alat ini paling dominan dilakukan oleh pengarang. Terdapat dua cara dipersembahkan iaitu cara petikan langsung dan petikan tidak langsung. Petikan langsung ialah petikan yang ditandai oleh pengikat kata dan kata-kata yang dipetik itu serupa atau tepat. Ia memberikan peluang kepada pengarang memperkatakan atau berkongsi idea dengan orang lain.

Petikan yang digunakan juga boleh menonjolkan sesuatu perkara. Petikan itu dapat menangkap atau menonjolkan satu sudut pandangan yang amat penting. Pembaca boleh memahami apa yang ingin diperkatakan oleh pengarang. Pengolahan itu mampu menjelaskan lagi pemikiran atau pendapat tersebut. Sesetengah orang akan membicarakan bahan pertuturan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil agar mesejnya berjaya disampaikan.

Di samping itu, terdapat banyak alat kepengarangan yang juga biasa digunakan iaitu satira, pengelasan, perletakan dan penjejakan. Pengelasan dikaitkan dengan pencerakinan tetapi ada sedikit perbezaan. Perletakan pula ialah dihuraikan dengan meletakkan sesuatu perkara atau orang dalam konteks tertentu. Pembaca akan dapat memahami perkara tersebut melalui gambaran yang diberikan.

3.7       ANEKDOT

Anekdot adalah salah satu bentuk percontohan atau ilustrasi tetapi ia dibuat dalam bentuk cerita ringkas yang menarik. Penulis yang berkesan menggabungkan anekdot untuk menghidupkan mesej yang ingin disampaikan dalam rencana tersebut. Anekdot biasanya menceritakan kejadian menarik atau lelucon tetapi ringkas.

Antara fungsi anekdot termasuklah membayangkan tema utama, menetapkan nada bahan-bahan yang menyusul, menjadi klimaks rencana tersebut, menjadi contoh bagi sesuatu penghujahan, mewarnakan tulisan gersang serta ia juga menjadi penutup kepada sesuatu rencana. Anekdot lebih bernilai sekiranya pembaca dapat menyimpulkan teladan daripadanya tanpa memerlukan maksud oleh pengarang.

Contoh bagaimana alat ini digunakan;

Satu catatan mengenai peristiwa atau tingkahlaku murid yang dianggap penting, dan signifikan untuk direkodkan. Anekdot ditulis secara objektif untuk menerangkan apa yang berlaku, bila dan dimana berlaku. Ia dibuat berdasarkan;

a.      Melalui pemerhatian terhadap peristiwa yang berlaku.
b.      Mengenal pasti peristiwa yang penting/signifikan kepada aspek perkembangan murid dan;
c.       Menulis maklumat selepas peristiwa berlaku.

Anekdot penting digunakan kerana ia adalah lebih kepada pembaharuan dalam pendidikan bacaan buku teks. Ia bersifat dramatis dan terkandung sedikit unsur humor dalamnya. Alat penulisan jenis ini penting untuk menguji sejauh manakah pengarang mampu memberikan hiburan kepada pembaca. Kaedah ini begitu penting dan wajar ditonjolkan mengikut bab. Dalam penulisan teks Bahasa Melayu, kaedah anekdot amat dominan serta perlu dipertingkatkan penggunaannya.

4.0      KESIMPULAN

Sesuatu penulisan formal dan ilmiah biasanya dihasilkan berdasarkan sesuatu kaedah dan format tertentu iaitu bergantung pada ragam tulisan. Namun demikian, terdapat beberapa perbezaan kecil di sana sini antara sesuatu hasil penulisan ilmiah dengan penulisan lain (majalah humor dan sebagainya).

Secara kesimpulannya,  setiap penulisan mempunyai matlamat dan hala tuju yang sama iaitu untuk memberi kefahaman dan penerangan dengan jelas tentang sesuatu kaedah, analisis, perbandingan, perbincangan dan sebagainya melainkan tulisan yang berbentuk humor (jenaka) lebih menjurus kepada perkara-perkara yang mengelikan hati.

Selain itu, penggunaan alat-alat kepengarangan dalam penulisan teks juga merupakan faktor penting dalam penghasilan penulisan teks yang berkesan. Kemahiran menggunakan alat-alat ini penting bagi seseorang penulis buku untuk menghasilkan corak penulisan yang baik dan berkualiti.

Oleh hal yang demikian, penekanan kepada penggunaan alat-alat penulisan harus digunakan secara menyeluruh unit demi unit dalam buku yang bakal dihasilkan. Secara umumnya, pengarang perlu mengimbangi penggunaan alat-alat kepengarangan dalam setiap unit secara sempurna.









RUJUKAN / REFERENSI

Diane M.Barone, et al. (2006). Improving Student Writing, K-8, From Meaning - Making to High Stakes. California: Corwin Press.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005).  Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarudin Hj. Husin. (1999). Bahasa Kebangsaan (A) : (untuk warganegara Malaysia). Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.

Tarigan, Henry Guntur (1994). Menulis Sebagai Suatu keterampilan Berbahasa. Bandung: Angkasa.

Awang Mohamad Amin (1983). “Beberapa Masalah Pengajaran - Pembelajaran Karangan Peringkat Tinggi.” Dewan Bahasa 27:3, hal. 188-194.


Rujukan Internet