Ahad, 19 Mac 2017

BAHASA MELAYU PENULISAN (ABML3103)

1.0       PENGENALAN

Penulisan merupakan satu bidang yang amat penting dalam menyampaikan maklumat berbentuk teks. Ia boleh bertindak sebagai satu jenis wacana yang dapat dibahagikan kepada beberapa bentuk yang asas. Alat-alat kepengarangan pula merujuk kepada teknik-teknik dan kaedah penulisan yang berkesan dalam sesebuah karangan. Ia bukanlah semata-mata pen, pensil, pembaris dan buku serta alat-alat atau medium yang digunakan ketika penulisan.

Menulis ditakrifkan sebagai proses penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat. Ayat yang disusun pula, ada kalanya panjang dan ada kalanya pendek berdasarkan beberapa urutan yang bermakna yang membentuk teks, nota, draf dan bahan bercetak.

Kamarudin Husin (1999) mentakrifkan penulisan sebagai pelahiran perasaan, fikiran dan idea dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik itu disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya.Takrif lain menyebutkan menulis sebagai suatu kegiatan penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun atur menjadi perkataan-perkataan, yang seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna.

Kemahiran menulis dan mengarang merupakan sebahagian daripada kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh setiap pelajar ketika di bangku sekolah lagi kerana sebahagian daripada pendidikan formal memerlukan kerja menulis dan mengarang sebagai faedah untuk menyampaikan maklumat, idea, perasaan dan pendapat. Kaedah ini bukan sahaja terdapat dalam mata pelajaran lain seperti kesusasteraan, sejarah, ilmu alam, sains, ekonomi dan sebagainya. Hal ini demikian kerana semua mata pelajaran itu memerlukan kecekapan pengucapan idea, fakta dan hujah dalam bentuk tulisan (Awang Mohamad Amin, 1983: 18).

2.0       TUJUAN PENULISAN KARYA

Tugas menulis merupakan aktiviti yang kompleks. Oleh sebab itu, menulis dalam apa jua bahasa pun merupakan aktiviti mental yang kompleks dan melibatkan kemahiran menyelesaikan masalah serta kebolehan berkomunikasi. Tambahan pula, penulisan melibatkan kemahiran menulis untuk pelbagai tujuan dan konteks. Ia bukan hanya setakat mempelajari struktur dan perbendaharaan kata sesuatu bahasa itu sahaja.

Pada dasarnya, setiap penulisan yang dihasilkan mempunyai beberapa tujuan dan maksud tertentu. Sebagai contoh, untuk memenuhi masa lapang, menjelaskan sesuatu, untuk memberikan arahan, menceritakan kejadian, menyakinkan, penulisan kreatif dan sebagainya.

Tujuan-tujuan penulisan tersebut kadang-kadang berdiri sendiri secara terpisah, tetapi sering pula tujuan ini tidak berdiri sendiri melainkan merupakan gabungan dari dua atau lebih tujuan yang menyatu dalam suatu tulisan. Oleh kerana itu, tugas seorang penulis tidak hanya memilih topik pembicaraan yang sesuai atau serasi, tetapi juga harus menentukan tujuan yang jelas. Penentuan tujuan menulis sangat erat hubungannya dengan bentuk atau jenis-jenis tulisan atau karangan.

Menurut Hugo Hartig (dalam Tarigan, 1994:24-25) mengklasifikasikan terdapat tujuh tujuan penulisan, antara lain tujuan tugasan (assingnment purpose), tujuan altruistik (altruistic purpose), tujuan meyakinkan (persuasive purpose), tujuan penerangan (informational purpose), tujuan pernyataan diri (self-expressive purpose), tujuan kreatif (creative purpose), dan tujuan menyelesaikan masalah (problem-solving purpose).

Manakala menurut Diane M.Barone, et al. (2006) dalam bukunya Improving Student Writing, K-8, From Meaning – Making to High Stakes, telah menggariskan sebanyak 18 tujuan manusia menulis iaitu;

a.         Untuk Belajar
b.         Untuk Memberitahu
c.         Untuk Menggambarkan
d.         Untuk Meyakinkan
e.         Untuk Menghiburkan
f.          Untuk Menghubungkan Maklumat Baru dengan Idea-idea yang Lama
g.         Untuk Memikirkan dan Menyemak Semula Idea-idea
h.         Untuk Umum
i.          Untuk Menganalisis
k.         Untuk Menjelaskan Hubungan
l.          Untuk Menjelaskan Isu-isu yang Mudah kepada Isu yang Kompleks
m.        Untuk Menyelesaikan Masalah
n.         Untuk Membuat Permintaan
o.         Untuk Mengingat
p.         Untuk Mencerminkan/Refleksi
q.         Untuk Menunjukkan Pengetahuan
r.          Kefahaman dan Untuk Meningkatkan Kemahiran Menulis

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa daripada pendapat di atas, tujuan menulis yang utama adalah untuk tujuan menghiburkan, informasi, tugasan, mendidik dan kreatif.

Sebelum memulakan penulisan sesuatu karya samada penulisan bukan kreatif iaitu bersifat  ilmiah atau penulisan kreatif terdiri daripada cerpen, novel, sajak, drama dan sebagainya manakala pokok perbicaraan iaitu topik perlu ditentukan terlebih dahulu. Pemilihan topik perlu dipertimbangkan dalam beberapa hal kerana ia melibatkan pelbagai kategori pembaca yang harus difikirkan samada ianya untuk kategori remaja, dewasa, golongan tua atau ketiga-tiga golongan tersebut secara serentak. Hal ini penting, agar mesej yang hendak dilontarkan sampai kepada kumpulan sasar seperti yang disebutkan tadi.

Seseorang penulis karangan ilmiah perlu memiliki ketrampilan dan pengetahuan yang tinggi samada dalam teknik penulisan bahan ilmiah, kaedah penelitian, masalah yang diteliti dan penguasaan bahasa yang baik. Manakala bagi penulisan kreatif, ianya lebih bercirikan naratif, berbentuk prosa atau puisi dan bersifat daya imaginasi penulis.

Penulisan yang ditulis untuk disampaikan kepada kelompok tertentu hendaklah menggunakan nada dan gaya yang konsisten. Penulis jangan mengharap pembaca tahu apa yang penulis tahu, namun penulis perlu memegang tangan audiens agar mereka boleh mengikut hujah yang ingin diperjelaskan.

2.1       TUJUAN MENGHIBURKAN

Sesuatu penulisan itu kadang kala dihasilkan semata-mata untuk menghiburkan para pembaca namun sedikit sebanyak ianya juga mampu memberi sedikit ilmu pada mereka yang tahu ‘mencari’ isi yang terkandung di dalamnya.

Penulisan yang baik mampu menghiburkan pembaca dan memberikan impak dan tindak balas terhadapnya. Penulis berupaya menjadikan pembaca gelihati seterusnya membawa rasa gembira dan terhibur. Ini bermaksud, tulisan yang kita buat mampu menjadi sebagai ubat serta penawar, dikala hati sedang berduka atau penat lelah.

Penulisan jenis ini tergolong dalam kategori berunsur humor atau jenaka.

Contohnya, cerita jenaka Melayu yang terkenal iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai dan Lebai Malang.

2.2       TUJUAN INFORMASI

Tujuan menulis juga adalah untuk memberitahu segala maklumat yang baru diperoleh dengan cara olahan atau perkataan sendiri. Ini bertujuan untuk memberi informasi atau keterangan dan penerangan kepada para pembaca.

Para pembaca tidak akan bertanya dan meminta penjelasan sekiranya segala maklumat penting turut disertakan secara terperinci di dalam penulisan tersebut.

Salah satu contoh informasi yang ingin disampaikan adalah seperti butir-butir yang dinyatakan di bawah:

            Tarikh: (bila aktiviti tersebut akan diadakan)
            Masa: (waktu - samada pagi, tengahari, petang atau malam)
            Tempat: (alamat lengkap, lokasi yang telah ditetapkan).

2.3       TUJUAN TUGASAN

Tujuan tugasan ini sebenarnya tidak memiliki tujuan sama sekali. Penulis menulis sesuatu kerana ditugaskan, bukan atas kemahuan sendiri (misalnya para siswa-siswi yang diberi tugasan menghasilkan laporan, rencana dan sebagainya).

Jenis penulisan ilmiah ini disediakan untuk memenuhi syarat bagi memperolehi pengakuan tingkat kesarjanaan dalam sesuatu pendidikan peringkat universiti. Kertas projek biasanya disiapkan untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda sementara tesis pula disediakan untuk mendapatkan Ijazah Sarjana atau Master.

2.4       TUJUAN MENDIDIK

Salah satu tujuan menulis juga adalah mendidik, maka hasil dari tulisan (seharusnya) boleh meningkatkan wawasan pengetahuan, mengasah kecerdasan dan mengubah perilaku pembaca.  Meskipun solusi yang ditawarkan setiap penulis berbeza untuk suatu masalah yang sama namun ianya tetap akan menjadi bahan pertimbangan pembaca.

Dalam situasi ini, penulis sedaya upaya mahu membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

2.5       TUJUAN KREATIF

Penulisan kreatif ialah apa-apa penulisan yang bertujuan untuk menyatakan pemikiran, perasaan dan emosi untuk mencapai nilai-nilai artistik kesenian berbanding dengan hanya memberikan maklumat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai pengungkapan pemikiran dan perasaan penulis dengan cara yang imaginatif, unik dan indah bunyinya.

Sebagai contoh, penulis menulis (cerpen, novel atau drama) bukan untuk menjadi pujaan tetapi untuk menterjemahkan imaginasi atau dari pengalaman yang dialami sendiri oleh penulis untuk dikongsi bersama. Beberapa buah buku yang sangat popular dalam kategori penulisan kreatif seperti ‘Seorang Tua Di Kaki Bukit’ karya Azizi Haji Abdullah, Aku Anak Timur’ karya Siti Aminah Haji Yusof dan lain-lain lagi.

3.0       ALAT-ALAT PENULISAN

Alat merupakan apa-apa benda, barang yang diperlukan dan digunakan apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Ia merupakan elemen yang digunakan untuk menyiapkan sesuatu. Alat-alat kepengarangan pula merujuk kepada alat-alat penulisan iaitu cara-cara atau kaedah yang digunakan untuk menyampaikan idea atau buah fikiran untuk disampaikan kepada pembaca. Antara alat-alat kepengarangan atau disebut juga alat-alat penulisan yang dimaksudkan ialah pentakrifan, penamsilan, perbandingan, pencerakinan, percontohan, petikan dan anekdot.

Alat-alat yang digunakan seharusnya menepati idea olahan oleh pengarang. Ia dapat mengembangkan penulisan serta dapat menjana minda pembaca ketika membaca buku teks. Jadi, buku teks tersebut mestilah memenuhi kriteria yang diperlukan dengan penekanan kepada alat-alat kepengarangan dengan betul. Jelasnya, gaya persembahan dalam buku teks begitu penting.

3.1       PENTAKRIFAN

Takrif bermaksud keterangan atau penjelasan yang sesingkat mungkin tentang sesuatu perkataan, iaitu bermaksud mentakrif, memberikan atau membuat pendefinisian sesuatu perkataan atau ayat. Ia juga berasal daripada perkataan Arab bermaksud ‘beritahu’. Dalam teks, terdapat banyak cara atau bentuk pentakrifan dibuat.

Takrifan senama melibatkan perkataan senama atau seerti. Ia penting untuk menerangkan sesuatu istilah. Dalam penulisan ini, takrifan jenis ini penting untuk menunjukkan kesesuaian teks yang digunakan oleh pengarang. Takrifan nominal pula disebut takrifan stipulatif kerana ia menyatakan makna sepatutnya yang perlu ditakrifkan. Pengarang harus menggunakannya dengan baik. Penggunaan istilah yang sesuai penting agar pelajar faham maksud yang cuba disampaikan.

Takrifan asal-usul merupakan satu cara untuk mendapatkan makna melalui asal-usul dan sejarah semantiknya. Dalam penelitian teks, pengarang perlu banyak menggunakan takrifan jenis ini untuk memaparkan sesuatu istilah. Takrifan contoh adalah menerangkan perkataan-perkataan abstrak. Contohnya, agama, budaya, bangsa atau kaum, kapitalisme serta istilah yang lebih sesuai.

Takrifan kelas pembahagian pula sebenarnya mula diperkenal oleh Aristotle. Ia dianggap berbeza dan takrifan jenis ini wajar dan sesuai digunakan untuk apa jua keadaan. Pengarang perlu bijak menggunakan takrifan jenis ini untuk menarik perhatian pelajar ketika membaca buku teks. Ia mampu membawa pelajar menyelami maksud yang ingin disampaikan. Takrifan ostensif diterangkan secara nyata. Pengarang cuba menggunakan pentakrifan yang jelas, tepat dan padat.

3.2       penamsilan

Tamsil bermaksud mengumpamakan, membuat perbandingan serta mentafsirkan. Ia merupakan satu jenis perbandingan yang dilakukan dengan memperkenalkan subjek kedua. Pengarang perlu pandai menyesuaikan takrifan yang diberi dalam bab-bab tertentu dalam ayat atau petikan. Pengarang menyatakan alat kepengarangan ini dengan membuat persamaan dan perbezaan. Ia disusun bagi memperkembangkan idea, perlunya membuat fokus dan memperluas bahan dengan cara paling baik untuk mencapai maksud yang cuba disampaikan.

Fungsi utama penamsilan ialah untuk menterjemahkan idea yang abstrak ke dalam istilah yang lebih mudah. Penamsilan yang baik ialah penamsilan logik yang boleh dijadikan alat pemujukan dan bukti sesuatu kesimpulan.

3.3       PERBANDINGAN

Banding bermaksud imbang, tara dan melihat kesamaan dan perbezaan antara sesuatu perkataan atau sesuatu benda. Perbandingan bermaksud melihat persamaan atau perbezaan. Pengarang perlu menyatakan perbandingan antara satu perkara yang berbeza dengan perkara yang lain. Sesuai dengan pelajar Tingkatan Empat, persamaan atau perbandingan mesti dikaitkan dengan jelas. Ia memastikan kebolehan berfikir para pelajar mempelihatkan kebolehan semulajadi mereka. Penerangan yang diberikan oleh pengarang haruslah tidah berbelit-belit.

Walaupun persamaan menekankan ciri-ciri yang sama dan perbezaan pula melihat aspek-aspek yang berlainan tetapi kedua-duanya memainkan fungsi yang sama. Persamaan dan perbezaan melibatkan sekurang-kurangnya dua subjek dan dalam hal ini kita akan menghadapi beberapa masalah termasuklah fokus, organisasi dan perkembangan. Dalam membuat sesuatu perbandingan, fokus mesti diambilkira.

Contohnya, gandingan 3 fokus;

a.         Ibu
b.         Bapa
c.         Ibu dan Bapa

Dalam hal ini, fokus hendaklah cukup jelas kepada pembaca. Ini mestilah ditunjukkan dengan jelas perbezaan dan persamaannya oleh pengarang.

Penulisan pula merujuk kepada penghasilan hasil karangan yang terhasil daripada kepandaian atau kemahiran menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkai kata dan dijadikan bentuk-bentuk ayat yang lebih luas dan dinamik. Penulisan lebih kepada perbuatan menulis atau mengarang, hasil daripada menulis atau mengarang. Bagi memperkembang idea dengan menggunakan perbandingan, kita perlu berfikir dengan teliti untuk membuat fokus, menyusun, dan memperluas bahan dengan cara yang paling baik untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

3.4       PENCERAKINAN

Cerakin bermaksud menyelidik atau menyiasat sesuatu keadaan perbuatan, gejala, ciptaan dan lain-lain untuk mengetahui sebab-sebab (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).

Sesebuah perenggan dianggap sebagai suatu cerakinan kerana untuk menulis sesuatu perkara, ia perlu dicerakinkan dalam bentuk butiran yang lebih khusus. Tujuannya ialah untuk memberitahu mengenai bagaimana sesuatu sistem itu berfungsi menerusi penerangan logik.

Audiens didedahkan dengan ayat yang sesuai atau analisis yang merujuk kepada teknik perkembangan topik. Pengarang menggunakan pencerakinan dengan baik dengan membuat pembahagian kepada beberapa bentuk dan ia memudahkan penumpuan ketika membaca huraian pada setiap babak dalam buku.

Tujuan kaedah ini dilakukan ialah untuk memberitahu pembaca bagaimana sesuatu sistem berfungsi sekiranya penerangan jelas diberikan serta orang lain memahami apa yang dibincangkan oleh pengarang. Dalam kata lain, ia merujuk kepada teknik yang lebih khusus iaitu teknik perkembangan topik dengan memecahkan kepada beberapa komponen.

Pencerakinan melibatkan proses penerangan langkah demi langkah terhadap perkara yang berlaku. Misalnya kebakaran, pencemaran atau proses pertumbuhan. Pencerakinan proses sejarah, sosiologi atau politik melibatkan penerangan yang terperinci supaya dapat memahami kronologi dan logik subjek tersebut.

3.5       PERCONTOHAN

Percontohan ialah satu atau sebahagian yang diberikan untuk memperlihatkan bagaimana rupanya untuk ditiru atau diubahsuai. Ia dilakukan bagi membantu menandakan penulisan yang baik tidak kira apa juga tujuan penulisan itu. Percontohan dalam buku teks menjadi satu klise kepada pelajar. Contohnya, teks mengenai kebakaran. Alat ini juga biasanya menggunakan istilah misalnya, seperti, contohnya dan umpamanya.

Ada juga percontohan yang tidak menggunakan perkataan-perkataan tersebut. Contoh-contoh tersebut terus dikemukakan untuk mengambarkan sesuatu idea yang dinyatakan. Percontohan berganda adalah satu bentuk pengembangan idea atau perenggan. Percontohan mengembang pula terjadi apabila sesuatu perenggan itu diperluas.

3.6       PETIKAN

Kaedah petikan merupakan alat penulisan yang penting kerana penggunaan alat ini paling dominan dilakukan oleh pengarang. Terdapat dua cara dipersembahkan iaitu cara petikan langsung dan petikan tidak langsung. Petikan langsung ialah petikan yang ditandai oleh pengikat kata dan kata-kata yang dipetik itu serupa atau tepat. Ia memberikan peluang kepada pengarang memperkatakan atau berkongsi idea dengan orang lain.

Petikan yang digunakan juga boleh menonjolkan sesuatu perkara. Petikan itu dapat menangkap atau menonjolkan satu sudut pandangan yang amat penting. Pembaca boleh memahami apa yang ingin diperkatakan oleh pengarang. Pengolahan itu mampu menjelaskan lagi pemikiran atau pendapat tersebut. Sesetengah orang akan membicarakan bahan pertuturan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil agar mesejnya berjaya disampaikan.

Di samping itu, terdapat banyak alat kepengarangan yang juga biasa digunakan iaitu satira, pengelasan, perletakan dan penjejakan. Pengelasan dikaitkan dengan pencerakinan tetapi ada sedikit perbezaan. Perletakan pula ialah dihuraikan dengan meletakkan sesuatu perkara atau orang dalam konteks tertentu. Pembaca akan dapat memahami perkara tersebut melalui gambaran yang diberikan.

3.7       ANEKDOT

Anekdot adalah salah satu bentuk percontohan atau ilustrasi tetapi ia dibuat dalam bentuk cerita ringkas yang menarik. Penulis yang berkesan menggabungkan anekdot untuk menghidupkan mesej yang ingin disampaikan dalam rencana tersebut. Anekdot biasanya menceritakan kejadian menarik atau lelucon tetapi ringkas.

Antara fungsi anekdot termasuklah membayangkan tema utama, menetapkan nada bahan-bahan yang menyusul, menjadi klimaks rencana tersebut, menjadi contoh bagi sesuatu penghujahan, mewarnakan tulisan gersang serta ia juga menjadi penutup kepada sesuatu rencana. Anekdot lebih bernilai sekiranya pembaca dapat menyimpulkan teladan daripadanya tanpa memerlukan maksud oleh pengarang.

Contoh bagaimana alat ini digunakan;

Satu catatan mengenai peristiwa atau tingkahlaku murid yang dianggap penting, dan signifikan untuk direkodkan. Anekdot ditulis secara objektif untuk menerangkan apa yang berlaku, bila dan dimana berlaku. Ia dibuat berdasarkan;

a.      Melalui pemerhatian terhadap peristiwa yang berlaku.
b.      Mengenal pasti peristiwa yang penting/signifikan kepada aspek perkembangan murid dan;
c.       Menulis maklumat selepas peristiwa berlaku.

Anekdot penting digunakan kerana ia adalah lebih kepada pembaharuan dalam pendidikan bacaan buku teks. Ia bersifat dramatis dan terkandung sedikit unsur humor dalamnya. Alat penulisan jenis ini penting untuk menguji sejauh manakah pengarang mampu memberikan hiburan kepada pembaca. Kaedah ini begitu penting dan wajar ditonjolkan mengikut bab. Dalam penulisan teks Bahasa Melayu, kaedah anekdot amat dominan serta perlu dipertingkatkan penggunaannya.

4.0      KESIMPULAN

Sesuatu penulisan formal dan ilmiah biasanya dihasilkan berdasarkan sesuatu kaedah dan format tertentu iaitu bergantung pada ragam tulisan. Namun demikian, terdapat beberapa perbezaan kecil di sana sini antara sesuatu hasil penulisan ilmiah dengan penulisan lain (majalah humor dan sebagainya).

Secara kesimpulannya,  setiap penulisan mempunyai matlamat dan hala tuju yang sama iaitu untuk memberi kefahaman dan penerangan dengan jelas tentang sesuatu kaedah, analisis, perbandingan, perbincangan dan sebagainya melainkan tulisan yang berbentuk humor (jenaka) lebih menjurus kepada perkara-perkara yang mengelikan hati.

Selain itu, penggunaan alat-alat kepengarangan dalam penulisan teks juga merupakan faktor penting dalam penghasilan penulisan teks yang berkesan. Kemahiran menggunakan alat-alat ini penting bagi seseorang penulis buku untuk menghasilkan corak penulisan yang baik dan berkualiti.

Oleh hal yang demikian, penekanan kepada penggunaan alat-alat penulisan harus digunakan secara menyeluruh unit demi unit dalam buku yang bakal dihasilkan. Secara umumnya, pengarang perlu mengimbangi penggunaan alat-alat kepengarangan dalam setiap unit secara sempurna.









RUJUKAN / REFERENSI

Diane M.Barone, et al. (2006). Improving Student Writing, K-8, From Meaning - Making to High Stakes. California: Corwin Press.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005).  Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarudin Hj. Husin. (1999). Bahasa Kebangsaan (A) : (untuk warganegara Malaysia). Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.

Tarigan, Henry Guntur (1994). Menulis Sebagai Suatu keterampilan Berbahasa. Bandung: Angkasa.

Awang Mohamad Amin (1983). “Beberapa Masalah Pengajaran - Pembelajaran Karangan Peringkat Tinggi.” Dewan Bahasa 27:3, hal. 188-194.


Rujukan Internet

Tiada ulasan:

Catat Ulasan