Ahad, 19 Mac 2017

PUISI MELAYU (ABMS1303)

1.0       PENGENALAN

Puisi merupakan genre sastera paling awal bagi semua bangsa di dunia. Kebanyakan bangsa di dunia memiliki puisi masing-masing dan puisi pula hadir dalam banyak bahasa berdasarkan bangsa penuturnya.

Masyarakat Eropah menggunakan puisi untuk menghasilkan dua buah epik yang berjudul Iliad dan Odyssey. Masyarakat Hindu juga menggunakan puisi untuk melahirkan Mahabrata dan Ramayana. Kesusasteraan awal bangsa Arab tertulis di dalam bentuk puisi. Puisi-puisi yang terbaik digantung di Ka’abah pada Zaman Jahiliah. Manakala orang Melayu pula berbangga dengan puisi milik mereka yang dinamakan pantun.

Pantun memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu seperti di dalam upacara meminang, majlis berbalas pantun, penghias ucapan dan sebagainya. Antara fungsinya ialah mendidik, menyindir, menyatakan perasaan, menyampaikan buah fikiran dan menghibur.

Menurut pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Mohd. Ramli Raman, puisi bukan sekadar seni pengucapan dan berbahasa, sebaliknya suatu yang bersifat fungsional atau praktis.

Sebab itu keindahan berbahasa dalam puisi tidak wajar ditafsir dalam pengertian yang terlalu sempit untuk melayan emosi dan syok sendiri.

Beliau menyebut bagaimana mantera, pantun, dikir barat dan dondang sayang mempunyai ikatan kukuh dalam menghidupkan suatu bangsa yang berbudaya dengan norma dan peraturan hidup yang jelas, utuh dan berketrampilan.

Puisi sebagai wadah tradisi yang dihidupkan dalam pengertian kontemporari dan juga puisi-puisi yang lahir daripada akal budi pemuisi sezaman perlu hidup sebagai citra manusia, melangkaui kendiri pengkaryanya.

Puisi yang bersifat nasional juga perlu bersifat merentasi semua keadaan dan pengertian, suara perjuangan dan menjadi nadi manusia, tidak terlalu taksub kepada kendiri pengkarya (Utusan Malaysia, 27/12/2004).


2.0       DEFINISI PUISI

Puisi merujuk kepada susunan atau aturan ayat yang menyampaikan maksud dalam bentuk yang indah dan ia adalah satu cabang kesenian. Ungkapan atau penggunaan bahasa yang indah disebut sebagai puitis. Bahasa puisi yang indah dan puitis inilah yang membezakan sifat karya puisi dengan karya prosa.

Za’ba mendefinisikan puisi atau karangan berangkap sebagai khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa. Maka dengan gambaran yang cantik ini perkara yang dikatakan itu bertambah menarik hati orang yang mendengarnya. Seterusnya beliau mengatakan bahawa karangan berangkap itu ialah karangan yang disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat dan antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya, serta kebanyakan memakai timbangan atau sukatan yang tertentu.

Beliau mentakrifkan dua ciri utama puisi. Pertama, sifat abstraknya seperti kecantikan ataupun keindahan bahasa dan kemerduan bunyi. Kedua, sifat konkritnya, struktur dasar yang merangkumi binaan baris dalam rangkap, kedudukan suku kata dalam baris, kedudukan suku kata dalam baris dan susunan rima. Kedua-dua ciri tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan tema dan kesannya kepada pembaca.
                       
2.1      JENIS-JENIS PUISI

Puisi terbahagi kepada dua jenis iaitu puisi Melayu tradisional dan puisi Melayu moden. Pengkelasan puisi Melayu boleh dibuat berdasarkan bentuk, isi atau tema dan fungsi. Berdasarkan kepada pengkelasan ini, jenis-jenis puisi Melayu tradisional terbahagi kepada dua belas iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka teki, peribahasa berangkap, teromba, talibun (sesomba), prosa berirama (prosa lirik) dan dikir (zikir). Puisi Melayu moden pula hanya terdiri daripada satu genre sahaja iaitu sajak.

Di bawah, sekadar memberikan beberapa contoh puisi Melayu yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu seperti pantun, syair dan peribahasa. 
                                   
2.1.1   PANTUN

Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing atau penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut.

Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat.  Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat.  Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat.

Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun.  Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun.

Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun empat kerat berikut:
                                    Pulau pandan jauh ke tengah,
                                    Gunung Daik bercabang tiga;
                                    Hancur badan dikandung tanah,
                                    Budi yang baik dikenang juga.

Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.

Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias.
                                   
2.1.2   SYAIR

Syair merupakan jenis puisi berirama, berasal dari negara Arab dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama dengan kedatangan Islam. Mengikut pendapat Za’aba, perkataan ‘syair’ itu asalnya dari perkataan Arab ‘syi’r’ membawa maksud perasaan dan pengenalan dengan jalan pancaindera, kerana karangan syair selalunya membangkitkan berbagai-bagai perasaan dan pengalaman yang terasa menerusi gambaran yang indah. 

Ia adalah peninggalan masyarakat lama yang terus hidup dan berperanan dalam masyarakat semasa. Fungsi syair adalah untuk menyampaikan cerita dan pengajaran dan digunakan juga dalam kegiatan-kegiatan yang berunsur keagamaan.

Ciri-ciri yang terdapat pada syair iaitu terdiri dari 4 baris serangkap dan bersajak a,a,a,a. Keempat-empat baris ini merupakan sebahagian daripada sebuah puisi yang agak panjang. Setiap baris dalam syair mempunyai makna yang berkaitan dengan baris-baris terdahulu. Sebuah syair biasanya menceritakan suatu kisah dan suku kata dalam setiap baris adalah sama, iaitu 4 perkataan dan 8-12 suku kata dalam satu baris.

Syair dapat dibahagikan kepada 2 kategori iaitu naratif dan non-naratif.

Syair naratif ialah syair berbentuk cerita seperti Syair Siti Zubaidah, Syair Selendang Delima, Syair Panji. Syair non-naratif ialah Syair berbentuk nasihat/pengajaran dan agama seperti Syair Ikan Terubuk.

Syair Hamzah Fansuri merupakan sebilangan syair Melayu kesusteraan klasik yang berbentuk keagamaan yang ditulis oleh Hamzah Fansuri pada akhir 1700-an di Aceh. Ulasan berbentuk sarjana mengenai Syair Hamzah Fansuri telah ditulis oleh G.W.J. Drewes & L.F. Brakel, The Poems of Hamzah Fansuri.
                                   
2.1.3   PERIBAHASA

Menurut Kamus Dewan, Edisi Keempat (2005), peribahasa ditakrifkan sebagai ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu seperti bidalan, pepatah dan sebagainya.
 
Peribahasa memainkan peranan penting terutamanya di kalangan masyarakat Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, ingatan secara kiasan atau sindiran.

Pada umumnya, dengan menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.

Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.

Umumnya, peribahasa masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga hari ini. Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Antara beberapa contoh peribahasa termasuklah “Masa itu emas”, “Bagai aur dengan tebing” dan sebagainya.


3.0       peranan pantun DALAM masyarakat Melayu terdahulu

Pantun memainkan peranan penting di dalam masyarakat Melayu sejak zaman dahulu lagi. Pantun merupakan puisi tradisional ciptaan asli orang Melayu. Pantun sering digunakan dalam upacara peminangan dan perkahwinan atau sebagai pembuka atau penutup bicara dalam majlis-majlis rasmi sehingga sekarang.

Dalam pantun Melayu sarat dengan kiasan dan nasihat. Keindahan kata dalam khazanah bahasa Melayu memperlihat daya cipta pemikiran dan falsafah masyarakat Melayu tradisional yang sangat tinggi, asli dan bernilai seni.

Antara fungsi pantun ialah mendidik, menyindir, menyatakan perasaan, menyampaikan buah fikiran serta menghibur.

Mohd Taib Osman (1975) mengatakan bahawa dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, pemakaian dan penggunaan puisi lebih luas lagi terutamanya pantun. Jelaslah, pantun digunakan sungguh meluas dalam masyarakat Melayu tradisional; hingga ke hari ini juga pantun digunakan terutamanya dalam majlis adat dan perayaan seperti pertunangan dan perkahwinan. Berkomunikasi melalui pantun mempunyai dan membawa makna tertentu. Pantun sebagai puisi yang diungkap akan mengindahkan lagi ucapan yang digunakan untuk berbagai-bagai situasi; daripada memberi ucapan secara berseloroh hinggalah kepada majlis-majlis yang lebih serius seperti pertunangan dan perkahwinan dalam masyarakat Melayu.

Umumnya terdapat dua jenis utama pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.
Pantun pula dibahagikan kepada beberapa jenis, diantaranya seperti;

(a)       Pantun kanak-kanak
(b)       Pantun peribahasa
(c)        Pantun budi
(d)       Pantun jenaka
(e)       Pantun teka-teki
(f)        Pantun kiasan

3.1       PANTUN KANAK-KANAK

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa;                              
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara ibu dan bapa.

(Petikan Teks Sehijau Warna Daun, “Pantun Kanak-kanak” 2000:5)

Nilai kejiwaan melalui bakti terdapat pada pantun di atas. Pencipta pantun mengambil imej “bulan yang terang pada malam sepi”. “Cahaya bulan tersebut memancar ke pokok kelapa” yang banyak kegunaannya. Hal ini diibaratkan sebagai hidup di dunia dengan membuat bakti. Bakti tersebut mestilah kepada saudara terdekat terutamanya ibu dan bapa kita sendiri. Petikan ini mempaparkan sikap orang Melayu mencipta sesuatu karya seperti pantun menggunakan rasa gentar hatinya dengan akal budi dan sentuhan rasa jasmaniahnya.

Dapatlah disimpulkan bahawa pantun di atas menjelaskan kepada kita agar berbuat jasa dan berbakti kepada saudara mara dan ibu bapa. Perkara yang diungkapkan mencakupi segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan orang Melayu samada alam sekeliling termasuk tanaman, tumbuhan dan binatang.

3.2       PANTUN BUDI

Tenang tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi sedikit rasa nak junjung.

                        (Petikan Teks Sehijau Warna Daun, “Pantun Budi” 2000: 4)

Perkaitan antara pembayang dan maksud amat jelas dalam pantun ini. Rangkap pertama membayangkan suasana tenang di laut. Tiada ombak dan gelombang. Digambarkan juga sampan dan kolek mudik iaitu pergi belayar ke tanjung. Hal ini juga dijelaskan tentang suasana itu yang menjadi kenangan untuk disebut. Begitu juga budi, walaupun sedikit rasa nak junjung iaitu diletakkan di atas kepala. Akal budi yang terpancar dari pantun ini, budi itu amat dihormati, dimuliakan dan dihargai.

            3.3       PANTUN KIASAN

Limau Bentan di tepi tingkap,
Budak-budak melempar burung;
Harimau di hutan lagi kutangkap,
Inikan pula cicak mengkarung.

(Petikan Teks Anak Laut, “Pantun Kiasan” 2000: 4)

Sebagai manusia seseorang itu mestilah berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diharapkan. Jika seseorang itu sanggup berusaha apa yang sukar akan dapat dicapai seperti kata pantun “harimau di hutan lagi kutangkap, inikan pula cicak mengkarung”.

Pantun ini menyarankan pemikiran akal budi supaya seseorang itu tidak mudah kecewa, sentiasa berfikiran positif, bercita-cita tinggi dan sanggup berusaha demi mencapai cita-cita. Sifat tidak mudah kecewa perlu ada dalam diri seseorang untuk menangani masalah yang sering berlaku seperti gagal dalam peperiksaan, percintaan dan seumpamanya. Orang Melayu mempunyai ketabahan dan kesabaran yang tinggi untuk mengharungi kehidupan yang semakin mencabar dengan lebih mudah.

Sementara itu, imej-imej binatang seperti burung, harimau, kumbang, cicak dan mengkarung amat berkait rapat dengan kehidupan dalam pantun Melayu. Selain itu, imej alam seperti bukit, gunung, bunga, langit dan awan memperlihatkan kepintaran dan kepekaan terhadap keindahan persekitaran para pencipta pantun Melayu.

3.4       PANTUN JENAKA

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Pantun ini bertemakan jenaka dan sindiran kepada isteri yang tidak pandai menguruskan rumah tangga, kepentingan ilmu dan kemampuan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan.

Oleh kerana itu, orang tua-tua dahulu amat menitikberatkan tentang soal pemilihan jodoh bakal menantu perempuan. Memilih bakal isteri biarlah yang tahu menguruskan rumah tangga bukan sahaja berdasarkan kecantikan semata-mata.

3.5      PANTUN PERIBAHASA

            Pergi ke rumah Cik Mariam,
Ramai orang tengah berjaga;
Carik-carik si bulu ayam,
Lama-lama bercantum juga.

Secara keseluruhannya pantun peribahasa di atas bermaksud adik-beradik yang bergaduh, lambat-laun akan berbaik semula. Dalam rangkap maksud pantun diibaratkan seperti carik-carik bulu ayam yang lama kelamaan akan bercantum semula. Hal ini disebabkan hubungan darah diantara adik-beradik yang tidak boleh diputuskan. Dari sudut falsafah, masyarakat Melayu memang menitikberatkan kasih sayang atau silaturahim antara adik-beradik kerana ia merupakan salah satu asas kepada kebahagiaan sesebuah keluarga.


4.0  cadangan tindakan konstruktif untuk memartabatkan puisi Melayu sebagai wadah pembinaan peradaban negara

Dewasa kini masyarakat Melayu tidak lagi menggunakan puisi terutamanya pantun dalam kehidupan seharian. Arus kemodenan dan teknologi telah menghanyutkan keindahan bahasa Melayu yang merupakan jiwa bangsa masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya. Kebanyakkan generasi muda yang hidup di alam siber dan kecanggihan teknologi hari ini menganggap penggunaan pantun sudah tidak releven lagi. Natijahnya, keistimewaan bahasa ini kian hanyut ditelan zaman. Walaupun begitu, kita masih boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk memartabatkan penggunaan pantun. Meskipun tidak dapat dinafikan bahawa bukan mudah untuk menerapkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian secara keseluruhan, akan tetapi bak kata pepatah “alah bisa tegal biasa”. Selaku generasi muda yang sedar akan kepentingan mempertahankan kesusateraan Melayu lama ini, kita haruslah berganding bahu mempertahankan dan meluaskan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian supaya keunikan puisi Melayu klasik ini supaya tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Pelbagai inisiatif telah dikenal pasti bagi memartabatkan puisi terutamanya pantun supaya generasi kini tidak berasa janggal untuk menggunakan pantun sebagai wadah pembinaan peradaban negara dalam kehidupan seharian mereka. Antara kaedah yang dikenalpasti untuk menyampaikan pemikiran untuk memartabatkan puisi ini adalah melalui peranan ibu bapa, institusi pendidikan, komunikasi massa dan kerajaan.

4.1       PERANAN IBU BAPA

Ibu bapa merupakan individu yang paling hampir dan rapat dengan kita. Mereka ini  memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan seharian kita kerana merekalah yang menjaga dan mendidik kita sejak kecil sehingga dewasa. Oleh itu, ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menerapkan puisi Melayu terutamanya pantun. Ibu bapa boleh menggunakan pantun dalam perbualan seharian dalam keluarga. Penggunaan pantun adalah sangat meluas dan boleh diguna pakai dalam aspek kehidupan sama ada bertujuan sebagai gurauan, hiburan, nasihat, sindiran, lawak jenaka, adat istiadat dan sebagainya. Pantun juga boleh digunakan sebagai medium untuk mendidik anak-anak kecil seperti memberi nasihat atau teladan. Contoh pantun nasihat dan teladan ialah:

Pak Ali pergi menjala,
Ikan dijala di tepi kali;
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.

Selain memperluaskan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian, sekaligus ibu bapa dapat menyelitkan unsur-unsur nasihat dan teladan. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kesannya, anak- anak kecil ini akan terbiasa dengan penggunaan pantun sekaligus dapat diamalkan oleh mereka sehingga dewasa.

4.2       PERANAN INSTITUSI PENDIDIKAN

Sekolah merupakan sebuah institusi yang memainkan peranan mendidik dan membimbing pelajar secara efektif. Oleh itu, peranan guru selaku pendidik memainkan peranan penting dalam memartabatkan puisi dalam kegunaan seharian. Dalam konteks ini guru boleh menyelitkan unsur-unsur pantun sewaktu sesi pembelajaran. Guru bahasa terutamanya boleh menekankan kepentingan dan keindahan puisi Melayu seperti pantun dan sajak. Pantun Melayu ini tidak terhad kepada pelajar berbangsa Melayu sahaja malah terbuka kepada pelajar berbangsa lain untuk mempelajari dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.  Bagi memartabatkan pantun dan sajak kepada pelajar di sekolah, pelbagai program boleh diadakan misalnya dengan mengadakan kempen Mari Berpantun atau Deklamasi Sajak.

Bagi menarik minat para pelajar untuk menyertainya, pihak penganjur perlu mengambil inisiatif seperti menyediakan sijil penyertaan dan  hadiah kepada peserta dan pemenang. Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan persembahan lakonan berdasarkan puisi atau pantun Melayu, secara tidak langsung dapat mengasah bakat dan membina keyakinan diri pelajar tersebut.

4.3       PERANAN MEDIA MASSA

Peranan media massa sangat penting kerana ia berfungsi sebagai penyalur maklumat dan informasi terkini tidak kiralah daripada segi hiburan, pendidikan, politik, agama sebagainya. Oleh itu, masyarakat berasa dekat dengan media massa dan sedikit sebanyak mampu mempengaruhi mereka sama ada ke arah positif atau sebaliknya.

Media massa terbahagi kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Buku, majalah dan surat khabar merupakan bahan media cetak yang hampir dengan masyarakat sebagai penyalur berita terkini. Memandangkan media cetak mendapat tempat dalam kalangan pembaca di negara ini, sewajarnyalah media berkenaan menjadi saluran penting untuk memartabatkan puisi Melayu terutamanya pantun dalam kehidupan seharian mereka. Penerbit juga boleh menggalakkan minat pembaca terhadap pantun dengan menyediakan ruangan teka teki dan pertandingan mencipta pantun. Hadiah yang lumayan mampu menarik pembaca untuk menyertai sekaligus mampu memartabatkan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian mereka.

Media elektronik juga perlu memainkan peranan yang sama seperti media cetak bagi memartabatkan puisi Melayu. Pengamal media elektronik perlu lebih agresif dan peka terhadap kepentingan nilai bahasa seperti pantun melayu selain mengaut keuntungan semata-mata menerusi rancangan tertentu dan mengabaikan penggunaan pantun dan keindahan bahasa ibunda yang merupakan bahasa kebangsaan kita. Selain RTM, stesyen penyiaran swasta seperti Media Prima Berhad dan Astro disarankan untuk menambahkan jumlah rancangan terbitan mereka yang menekankan penggunaan puisi Melayu klasik seperti program pertandingan berbalas pantun.

Bukan itu sahaja, malah siaran radio tempatan juga boleh menyelitkan penggunaan puisi dan pantun dalam segmen tertentu terutamanya pada waktu perdana dan kemuncak seperti waktu pagi. Pendengar sering memasang radio ketika berkerja atau memandu kereta ke tempat kerja. Secara tidak langsung, pendidikan dan penerapan puisi Melayu klasik ini menular dan sebati dalam kehidupan seharian mereka.

Pihak media massa sewajarnya memikul peranan dan tanggungjawap  bersama dengan baik kerana medium tersebut sebagai salah satu sumber rujukan kepada warga asing yang ingin mendalami tentang keindahan bahasa Melayu.

4.4       PERANAN KERAJAAN

Peranan kerajaan dalam memartabatkan semula puisi Melayu ibarat serampang dua mata. Hal ini kerana inisentif yang diambil oleh kerajaan adalah demi mengekalkan khazanah seni warisan budaya sejak turun temurun lagi. Disamping itu juga komitmen kerajaan dalam menjayakan usaha ini perlu untuk mendidik masyarakat pada masa kini agar tidak lupa akan asal usul mereka tatkala menjadi panduan hidup.

Kerajaan merupakan peneraju sesebuah negara, oleh itu sebarang keputusan atau tindakan yang diambil oleh kerajaan akan menjadi titik tolak kepada kejayaan sesuatu projek, umpamanya menjalankan pertandingan-pertandingan seperti pertandingan bersyair dan menulis puisi.

Hadiah lumayan harus diberikan kepada juara manakala sijil penyertaan bagi semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut bagi menarik minat masyarakat dalam setiap pertandingan yang bakal dijalankan kelak. Tuntasnya, pertandingan-pertandingan yang dijalankan mampu menarik minat masyarakat terhadap genre sastera Melayu tradisional ini.

5.0       KESIMPULAN

Secara konklusinya, semua pihak termasuklah ibu bapa, institusi pendidikan, media massa seperti media elektronik dan media cetak, pihak kerajaan dan swasta haruslah berganding bahu dan bermuafakat dalam memartabatkan puisi Melayu dalam kehidupan seharian dengan memainkan peranan masing-masing. Di samping itu, kita hendaklah sebulat suara dan bersatu selain mencuba alternatif yang sesuai dalam menyuarakan pendapat dan perspektif masing-masing. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Andai peranan dijunjung bagai berhampar lapik, berlicin daun dengan bertaut keyakinan diri, pasti yang sukar akan menjadi lebih mudah.









RUJUKAN / REFERENSI

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohammad Tajuddin bin Haji Abdul Rahman. "Struktur Peribahasa Melayu: Peribahasa" Kamus Peribahasa Melayu Untuk Pelajar. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sendirian Berhad, 2000.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 2000. Sehijau warna daun: antologi kesusasteraan Melayu sekolah menengah.

Mohd Taib Osman (1975). Warisan Puisi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

G.W.J. Drewes & L.F. Brakel, The Poems of Hamzah Fansuri, Dordrecht: Foris, 1986. Bibliotheca Indonesica no.26, published for the Koninklijk Instituut voor Taal-, Land-en Volkenkunde. J. Doorenbos, De Geschriften van Hamzah Pansoeri, dissertation, University of Leiden, 1933.


Rujukan internet;

http://ms.wikipedia.org/wiki/Syair_Hamzah_Fansuri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan