Khamis, 29 Mac 2018

SASTERA UNDANG-UNDANG DAN KETATANEGARAAN (ABMS4203)

1.0       PENGENALAN

Setiap negara mempunyai undang-undang dan perlembagaan yang tersendiri. Undang-undang dan perlembagaan wujud dalam masyarakat bertujuan menjamin kelangsungan sesebuah negara, menjamin kestabilannya, menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat, menegakkan keadilan serta memberi panduan dan kuasa kepada pemerintah. Justeru, perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik serta menjamin taat setia rakyat sesebuah negara itu.

Berlanjutan dari perkara tersebut, semasa zaman kesultanan Melayu Melaka, negara sudah pun memiliki satu teks undang-undang yang dianggap sebagai karya agung Melayu ialah “Undang-Undang Melaka” atau dikenali juga dengan nama “Hukum Kanun Melaka.” Undang-Undang Melaka diasaskan di Melaka pada zaman pemerintahaan Sultan Muhammad Syah (1422-1445). Pada sekitar tahun 1445-1459, isi kandungannya telah ditambahbaik atas arahan Sultan Muzaffar Syah dan menjadi teras penggubalan undang-undang tradisional negeri-negeri Melayu yang lain. Teks ini membicarakan mengenai hukum jenayah, perdagangan dan hal-hal kekeluargaan.

Undang-Undang Melaka merupakan naskah teks undang-undang yang dapat melambangkan kebijaksanaan pemikiran Melayu pada zaman dahulu. Hal ini kerana naskah Undang-undang Melaka dapat membuktikan bahawa, walaupun pada masa itu dalam serba-serbi kekurangan daripada segi ilmu dan teknologi tetapi berjaya menghasilkan sebuah teks undang-undang terawal yang menjadi sumber rujukan utama pada abad ke 15.

Walau bagaimanapun, undang-undang ini tidak tersusun secara teratur seperti mana undang-undang moden yang ada pada masa sekarang, sebaliknya bercampur-campur antara undang-undang jenayah, undang-undang perdagangan, undang-undang kekeluargaan dan sebagainya. Undang-undang adat bercampur-campur antara amalan tradisi masyarakat Melayu, pengaruh kepercayaan Hindu dan Islam. Namun ianya bolehlah dianggap sebagai undang-undang yang lengkap di dalam sejarah tamadunnya.

2.0       KONSEP DERHAKA KEPADA RAJA

Di dalam masyarakat Melayu, kita seringkali mendengar ungkapan “Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah” dan ungkapan “'Pantang Melayu Derhaka pada Raja”' seperti yang selalu dikaitkan di zaman kegemilangan Melayu Melaka dan sehinggalah sekarang.

Menurut Kamus Dewan, “derhaka” membawa maksud tidak taat atau berbuat khianat (contohnya; kepada raja, negara dan lain-lain).

Kisah derhaka ini banyak diceritakan di dalam buku Sejarah Melayu (The Malay Annals). Antaranya, kisah Hang Tuah diarah membunuh Hang Kasturi kerana Hang Kasturi dikatakan telah menderhaka kepada baginda sultan (Sultan Mansur Syah) disebabkan berpoya-poya dengan dayang-dayang istana sehingga kesiangan.

Jika seseorang itu melakukan kesalahan, seseorang itu wajar dihukum berdasarkan apa kesalahan yang dilakukannya. Sebagai contoh, jika seseorang itu mengamuk, maka hukumannya terkandung seperti di dalam Undang-undang Melaka dalam Fasal 6 – Hukum orang mengamuk.

Perkara lain yang perlu dibincangkan dalam konsep derhaka kepada raja adalah harus juga memahami aspek adat istiadat raja-raja Melayu, taat setia rakyat, ajaran Islam dan nilai semasa.

2.1       ADAT ISTIADAT RAJA-RAJA MELAYU

Selain daripada mentaati kepada perintah Allah s.w.t, kita juga diwajibkan taat kepada pemerintah iaitu raja.

Raja adalah ketua agama Islam, dimana masyarakatnya terdiri dari majoritinya berbangsa Melayu. Urusan adat istiadat Melayu dipegang erat oleh institusi diraja. Ia adalah amanah turun temurun ratusan tahun bermula daripada kesultanan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun lalu.

Kisah mengenai adat istiadat Melayu diperturunkan kepada kita hari ini melalui karya agung orang Melayu, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Tun Seri Lanang atau Tun Muhammad, pembesar istana berketurunan bendahara-bendahara kerajaan Melayu Melaka dan Johor Lama adalah penulis asal karya itu pada 1612. Tun Seri Lanang diarahkan menulis oleh Sultan Abdullah Maayah Syah dengan titah:

''Bahawa beta minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara peri persetua dan peri petuturan raja-raja Melayu dengan istiadat sekali; supaya diketahui segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu; syahadah beroleh faedahlah ia daripadanya." (A. Samad Ahmad "Sulalatus Salatin". Kuala Lumpur DBP hlm.3)

Tanpa titah raja itu, siapalah orang Melayu hari ini.

2.2       TAAT SETIA RAKYAT

Setiap rakyat sangat dituntut agar setia kepada raja yang menjadi penaung kepada negara, lebih-lebih lagi kepada raja yang adil. Kesetiaan ialah salah satu nilai murni yang tidak kurang  pentingnya kepada manusia. Malah, kesetiaan kepada negara dan pemerintah menjadi asas yang membentuk kekuatan sesebuah negara, sama ada ketika negara berada dalam keadaan yang aman atau sebaliknya (Prof Madya Dr Jelani Harun, 2014).

Amat malang, jika ada pihak yang mula mempertikaikan titah baginda raja-raja Melayu. Orang Melayu sepatutnya tidak bersikap biadap terhadap institusi itu. Raja ialah instituisi Melayu. Jika raja disanggah bermakna Melayulah disanggah (Utusan.com.my, 19 Mei 2010).

Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut: (maksudnya)
“Wahai orang yang beriman! taatlah kamu Allah dan Rasul dan kepada Ulill-Amri dari  kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan RasuNya (Sunnah), jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”(Surah  An Nisaa 4: 59).
Ulil-Amri di sini bermaksud raja atau penguasa (pemerintah). Jelaslah bahawa, ketaatan kepada pemerintah sangat dituntut di dalam Islam, selagi pemimpin itu tidak menyuruh rakyatnya berbuat maksiat kepada Allah.

Prinsip ketaatan kepada pemerintahan ini sangat penting dalam Islam, kerana kehidupan umat serta peraturan-peraturan yang dibawa oleh Islam "tidak akan dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintah yang ditaati" (Imam al-Ghazali, al-Iqtisad dan Fi al-I'tiqad). Kerana itu mentaati ketua negara adalah "sebahagian dari asas-asas utama bagi syariat Islam yang suci dan benar ini" (al-Absyihi al-Mustatraf).

Bertolak dari prinsip ini jugalah, maka perbuatan mencabar pemerintah yang sah sehingga membawa kepada perpecahan masyarakat yang boleh memecahkan perpaduan dan melemahkan umat, adalah merupakan kesalahan yang dipandang berat oleh agama.

2.3       AJARAN ISLAM

Hubungan antara institusi raja dan Islam sudah sinonim dengan sejarah, amalan, budaya dan undang-undang negara. Sejak mula kedatangan Islam ke rantau ini, hubungan kedua-duanya sangat jelas sehingga dimaktub dan dimasyhur dalam undang-undang bahawa raja sebagai ketua agama Islam.
Sebuah negara harus memiliki seorang ketua yang menjadi tempat bernaung segala rakyat yang berada di dalam negara tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum, dalam ajaran agama islam sendiri pun ada menjelaskan bahawa kewajipan taat kepada pemimpin (penguasa).

Kedudukan Raja-Raja dalam perlembagaan yang menyentuh mengenai hal ehwal Islam memperlihatkan interaksi antara sejarah dan perlembagaan. Ini bermakna apa yang ada dalam perlembagaan sekarang bukanlah sesuatu yang sepenuhnya dipaksakan oleh perlembagaan tetapi ia adalah satu penerusan atau mengizinkan sesuatu yang telah wujud lama sebelum perlembagaan mula berkuat kuasa pada 31 Ogos 1957. Dari segi kedudukan raja-raja mengenai hal ehwal Islam, perlembagaan menetapkan raja-raja sebagai ketua agama.

2.4       NILAI SEMASA

Nilai dalam kontek ilmu bermaksud, sifat ketinggian dalam pemikiran, agama, kemasyarakatan dan lain-lain lagi. Manakala semasa pula bermaksud, dari satu waktu ke waktu lain.

Membicarakan soal konsep derhaka kepada raja dengan nilai semasa pada masa sekarang amat jauh berbeza. Kalau zaman dahulu, kebanyakan pembesar-pembesar sangat taat kepada raja sehingga membuta tuli tanpa memikirkan samada tindakan seorang raja itu betul atau salah. Tetapi pada masa sekarang, undang-undang telah membatasi tingkah laku raja. Raja tidak boleh lagi bertindak sewenang-wenangnya untuk memberi hukuman kerana undang-undang persekutuan atau sivil perlu dirujuk terlebih dahulu.

Namun, dengan adanya undang-undang sivil, tidak bermakna institusi raja tidak perlu lagi dihormati apatah lagi mahu menderhaka.

3.0       PERISTIWA DERHAKA KEPADA RAJA

Menurut cerita dalam Sejarah Melayu (Cheah Boon Kheng, 1995 ms 160), peristiwa Hang Tuah dianggap telah menderhaka kepada raja disebabkan Hang Tuah berkehendakkan dengan seorang dayang-dayang istana raja. Hang Tuah kemudian dituduh telah berzina dengan dayang istana. Hal ini telah diketahui oleh baginda sultan (Sultan Mansur Syah).

Ini menjadikan baginda sangat marah dan murka terhadap Hang Tuah, lalu diperintahkannya kepada Seri Nara Aldiraja supaya Hang Tuah dihukum bunuh. Seri Nara Aldiraja terpaksa akur akan perintah raja, kerana pantang anak Melayu menderhaka kepada perintah rajanya. Namun terdetik di dalam hati Seri Nara Aldiraja berkata, “belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’

Seri Nara Aldiraja pun mengambil keputusan untuk menyembunyikan Hang Tuah di suatu dusun lalu dipasungnya. Setelah tugasnya memasung Hang Tuah telah selesai maka beliau pun kembali mengadap raja bagi menyatakan bahawa perintah baginda telahpun dilaksanakannya iaitu Hang Tuah sudahpun dibunuh. Baginda hanya diam apabila mendengarnya.

Setelah setahun berlalu kehilangan Hang Tuah, maka kini giliran Hang Kasturi pula membuat onar berkehendak dengan dayang-dayang istana. Kelakuan Hang Kasturi semakin liar sehingga sering bersuka ria di istana dan bermukah dengan dayang-dayang di istana malah ia menganggap istana adalah tempat tinggalnya. Hang Kasturi berseronok-seronok dengan dayang-dayang istana sehingga tak sedar dia telah tertidur di istana sehingga kesiangan.

Perbuatan keji tersebut telah mendatangkan kemurkaan Sultan Mansur Syah. Baginda terpaksa berpindah disebabkan kejadian tersebut. Baginda dan Raja Perempuan keluar dari istana tersebut dan berpindah ke istana lain.

Baginda duduk di sebuah balai kecil. Baginda menitahkan kepada semua hulubalang serta pengawal istana mengepung Hang Kasturi. Istana tersebut dikepung sehingga penuh dengan orang berlapis-lapis. Hang Kasturi terlebih  dahulu menutup semua pintu-pintu istana.

Tombak,  lembing dan keris digunakan untuk menjolok dari bawah untuk menikam Hang Kasturi. Pelbagai percubaan untuk membunuh Hang Kasturi, namun segala usaha tidak juga berjaya. Hang Kasturi bukanlah calang-calang orang yang mudah untuk dikalahkan oleh sebarangan orang.

Baginda mengarahkan orang naik ke atas untuk mendapatkan Hang Kasturi namun tiada seorang pun berani. Semuanya sekadar diam tidak berkata apa-apa. Baginda akhirnya telah putus harapan. Ketika inilah baru baginda teringatkan Hang Tuah. “Sayangnya si Tuah tiada. Jikalau ia ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” ujar baginda. Keluhan baginda itu didengar oleh Seri Nara Aldiraja.

Setelah dua tiga kali Seri Nara Aldiraja memikirkan akan keluhan baginda mengenangkan Hang Tuah, maka beliau pun membuka mulut, “Tuanku, pada pandangan patik yang hina ini, jika sekiranya Hang Tuah masih hidup, adakah tuanku ampunkan dia?”, sembah Seri Nara Aldiraja. “Adapun jikalau si Tuah masih hidup, walaupun dosanya sebesar bukit sekalipun, nescaya beta ampuni juga”, titah baginda kepada Seri Nara Aldiraja.

Seri Nara Aldiraja pun menceritakan kepada baginda bahawa Hang Tuah sebenarnya masih hidup. Hang Tuah cuma disembunyikan di sebuah dusun. Baginda terlalu amat gembira mendengar perkhabaran tersebut dan mengarahkan Hang Tuah dipanggil.

Maka, Seri Nara Aldiraja pun membawa pulang Hang Tuah dari tempat persembunyiannya, lalu dibawa mengadap Sultan.

Sultan menitahkan kepada Hang Tuah supaya Hang Kasturi dibunuh. Hang Tuah akur dengan titah tersebut.

Selepas berlawan begitu lama, akhirnya Hang Kasturi berjaya dibunuh oleh Hang Tuah dan mendapat semula keris Taming Sarinya.

Mayat Hang Kasturi dibuang ke laut. Begitu juga dengan anak dan isteri beliau, turut dibunuh dan dibuang ke laut. Sehingga rumah kediaman keluarga Hang Kasturi dan tiangnya sekali turut digali untuk dibuangkan ke laut.

Setelah itu Hang Tuah lah orang yang pertama digelar Laksamana. Hang Tuah meneruskan khidmatnya kepada Sultan Mansur Shah selepas kematian Hang Kasturi.

4.0       NILAI KEADILAN HUKUMAN

Membicarakan nilai keadilan yang terdapat dalam Undang-undang Melaka mengikut ukuran nilai keadilan masyarakat moden abad ke-21 masa kini sudah pasti akan menghasilkan dapatan atau rumusan yang jauh menyimpang daripada prinsip dan falsafah asal penulisan Undang-undang Melaka tersebut yang dihasilkan pada pertengahan abad ke-15 yang lalu (Prof Madya Dr Jelani Harun, 2014).
Walaupun undang-undang zaman dahulu, ada sesetengah hukumannya dianggap zalim namun ianya adalah releven pada waktu itu dan setelah peredaran masa berlalu ia sudah dianggap tidak sesuai dan keras pada masa kini.

Kita mungkin boleh mempertikaikannya di masa sekarang namun pada hakikatnya, Undang-undang Melaka pada waktu itu merupakan pencapaian tamadun hidup bagi masyarakat Melayu berbanding dengan amalan “undang-undang rimba” yang wujud sebelumnya.

Sebagai sebuah naskah undang-undang, Undang-undang Melaka memberikan beberapa gambaran bagaimana sesuatu undang-undang itu dilaksanakan di Melaka pada masa silam.

Setiap kesalahan yang tercatat dalam Undang-undang Melaka disertai juga dengan cara-cara atau kaedah hukuman mengikut jenis-jenis kesalahannya. Oleh itu, apabila berlaku sesuatu permasalahan yang berkaitan dengan undang-undang, raja atau pembesar yang berkaitan akan mengadili permasalahan tersebut mengikut aturan undang-undang yang tercatat pada Undang-undang Melaka atau Undang-undang Laut Melaka.

Inilah nilai keadilan yang cuba ditonjolkan dalam undang-undang tersebut kerana setiap hukuman telah pun diberi garis panduan terlebih dahulu.

Idealnya suatu undang-undang itu adalah adil. Namun realitinya undang-undang tidak semestinya adil. Ini kerana sesetengah penguasa atau pemerintah yang gagal mematuhi undang-undang yang sedia ada tetapi hanya mengikut undang-undang hawa nafsu ketika menjatuhkan hukuman dalam keadaan marah.

Hukuman perlu dilaksanakan kerana tujuan asal hukuman adalah untuk mendidik dan memberi peringatan kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang. Namun jika bentuk hukuman tidak adil disebabkan adanya unsur fitnah, rasuah, zalim dan sebagainya maka hukuman itu boleh dianggap menzalimi hak orang yang kena hukum. Ini, sedikit sebanyak boleh mencalarkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dalam proses untuk menegakkan keadilan dalam memberi hukuman.

Bayangkanlah sekiranya hukuman yang dilaksanakan tidak diteliti secara adil lalu mensabitkan seseorang melakukan kesalahan membunuh orang dengan niat. Maka orang tersebut dijatuhkan hukuman mati. Apakah implikasinya jika setelah orang tersebut digantung, kemudian didapati ada bukti menunjukkan bahawa orang tersebut difitnah oleh orang lain? Bolehkah nyawa orang yang telah mati itu dikembalikan? Itulah diantara sebabnya di dalam kes-kes jenayah, menjatuhkan hukuman perlu berhati-hati sebelum ianya disabitkan. Ini bagi mengelakkan orang yang tidak bersalah akan teraniya.

4.1       TAJ AL-SALATIN

Kitab yang telah digolongkan dalam genre penasihatan khalifah seperti Taj Al-Salatin ini bukan sahaja membincangkan tentang peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. kepada manusia dalam mengurus negara tetapi juga terdapat beberapa panduan kepemimpinan melibatkan raja-raja dan pembesar istana.

Penulisan kitab-kitab begini di dunia Islam diketahui sudah berakar umbi sejak ribuan tahun lamanya di Tanah Arab dan di dunia Islam yang lain. Mereka biasanya mempunyai kedudukan tertentu di istana seperti menteri, bendahara, penasihat sultan, hulubalang, para cerdik pandai, ilmuan dan golongan ulama. Hanya pengarang yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang sejarah, adat istiadat dan berpengalaman dalam urusan pemerintahan kerajaan sahaja yang berupaya untuk menghasilkan kitab-kitab tersebut.

Karya penasihatan khalifah seperti kitab Taj Al-Salatin lahir kerana krisis kepimpinan yang berlaku di istana Kesultanan Aceh Dar al-Salam pada akhir abad ke 16M (1575-1604). Taj Al-Salatin menawarkan penyelesaian bagi masalah-masalah seperti perebutan kuasa di kalangan kerabat diraja Aceh, sultan yang zalim, pembunuhan enam orang sultan dan hulubalang yang tamak serta gila kuasa dalam period tersebut. Menurut Raden Hoesein Djajadiningrat (1982/1983:81) dan Abdul Hadi W.M. (2001:121-123), kekerasan mewarnai politik Aceh apabila Sultan Muda yang baru berumur 4 bulan telah mati dibunuh. Selain itu Sultan Sri Alam (1576), Sultan Zainal Abidin (1577), Sultan Alauddin dari Perak atau Mansur Shah (1577-1586) dibunuh oleh hulubalangnya, Sultan Ali Riayat Shah atau Raja Bujang mangkat dibunuh (1586-1588) dan berlaku perebutan kuasa di period akhir pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Sayyid al-Mukammil (1588-1604) oleh dua orang anak lelakinya.

Mengapa masalah seperti ini berlaku dalam sesebuah kesultanan Islam? Menurut Taj Al-Salatin, keadaan ini berlaku kerana agama Islam sudah tidak lagi diamalkan oleh para pemimpin negara dan umat Islam. Ini kerana hubungan antara agama dan kerajaan adalah sangat rapat dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Apabila agama Islam tidak lagi diamalkan di dalam politik bernegara maka sifat-sifat dengki, irihati, dendam, sombong, angkuh, riak, takabbur dan gila kuasa akan menular dalam kalangan masyarakat khususnya para pemimpin negara. Kesannya akan wujud ketidakstabilan politik, huru-hara, jenayah dan keganasan yang tiada kesudahan.

4.2       BUSTAN AL-SALATIN

Bustan Al-Salatin (Taman Segala Raja-Raja) merupakan salah sebuah karya besar Nuruddin ar-Raniri yang dihasilkan di Aceh pada tahun 1638 dalam bahasa Melayu bertulisan jawi.

Secara umumnya, Bustan Al-Salatin digolongkan sebagai karya “ketatanegaraan.” Bustan Al-Salatin berfungsi sebagai wadah pengajaran yang membentuk moral dan adab raja-raja serta para pembesar melalui peristiwa-peristiwa sejarah yang penuh hikmah. Tema tentang moral dan adab raja serta menteri atau pembesar tersebut paling ketara dapat dilihat dalam Bustan Al-Salatin bermula dari Fasal Kedua dalam Bab Kedua hingga Bab Ketujuh.

Dalam Bab Pertama dan Fasal Pertama dalam Bab Kedua pula boleh digolongkan sebagai suatu genre khusus dalam cerita tentang proses penciptaan alam dan para nabi yang lain.

Bustan Al-Salatin terdiri daripada tujuh bab, iaitu setiap bab terbahagi pula kepada beberapa fasal (Raffles Malay 8);

Bab Pertama:  Pada menyatakan kejadian bumi tujuh petala dan tujuh petala langit - 30 fasal.
Bab Kedua:     Pada menyatakan segala anbia dan segala raja-raja – 13 fasal.
Bab Ketiga:     Pada menyatakan raja-raja yang adil dan wazir yang berakal – 6 fasal.
Bab Keempat: Pada menyatakan segala raja yang pertapa dan segala anbia yang soleh – 2 fasal.
Bab Kelima:    Pada menyatakan kelakuan raja yang zalim dan wazir yang aniaya – 2 fasal.
Bab Keenam:  Pada menyatakan orang yang sakhti (pemurah) yang mulia-mulia dan segala orang yang berani dan besar-besar – 2 fasal.
Bab Ketujuh:   Pada menyatakan akal dan ilmu, dan firasat, dan penyakit, dan ilmu tasyrih, dan ilmu tabib, dan segala sifat perempuan dan setengah daripada segala hikayat yang indah-indah – 5 fasal.
Demikianlah menurut manuskrip Raffles Malay 8, mencatatkan bahawa kitab tersebut terdiri daripada 60 fasal, termasuk 30 fasaldalam Bab Pertama.

Kitab Bustan Al-Salatin ini berfungsi sebagai wadah pengajaran yang membentuk moral dan adab raja-raja serta pembesar melalui peristiwa-peristiwa sejarah yang penuh hikmah.

5.0       KESIMPULAN

Perlembagaan merupakan undang-undang utama (induk) bagi sesebuah negara. Ketinggian dan keagungan (supremacy of the constitution) melambangkan ia sebuah dokumen utama yang menjadi 'yard stick' segala tindakan kerajaan dan rakyat dalam sesebuah negara. Ia secara langsung menjadi instrumen yang melahirkan kuasa dan institusi-institusi di dalam sesuatu masyarakat atau negara (Utusan Online, 19/12/2011).

Dalam membicarakan hukuman dan tindakan Sultan Mansur Shah menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa terlebih dahulu, tentunya akan mendatangkan implikasi. Tindakan terburu-buru oleh seorang pemerintah jelas menunjukkan betapa tidak adanya kuasa yang dapat menyekat kekuasaan dan batas-batas kuasa seorang raja dalam masyarakat yang mengamalkan sistem feudal. Raja begitu murka setelah mengetahui bahawa Hang Tuah berkehendak dengan salah seorang dayang di istana. Tanpa berfikir panjang, baginda tidak lagi mendengar nasihat Bendahara (Seri Nara Aldiraja).  Malah dalam keadaan marah, hilang pertimbangan buruk baik hukuman. Segala jasa bakti Hang Tuah dan segala kebaikan tidak lagi diperhitungkan hanya kerana “seorang perempuan”.

Dapatlah disimpulkan bahawa, setiap undang-undang perlu dilaksanakan dan dikuatkuasakan serta diberi hukuman yang setimpal dengan kesalahannya, namun perlaksanaannya haruslah mengikut lunas undang-undang sepertimana yang telah digariskan. Hukuman tanpa bicara umpamanya, boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap nilai keadilan dalam sesebuah kerajaan.

Tidak dapat disangkal lagi, dengan kebijaksanaan pemerintah mematuhi garis panduan ini, akhirnya mampu membawa keamanan dan kemakmuraan sejagat kepada negara dan rakyat jelata.

Dalam masa yang sama, ia akan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan keharmonian negara.





RUJUKAN / REFERENSI

Prof Madya Dr Jelani Harun. (2014). Sastera Undang-undang dan Ketatanegaraan. Seri Kembangan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.
Jelani Harun. (2004). Bustan al-Salatin (bab pertama dan kedua). Ampang: Dawama Sdn. Bhd.
Cheah Boon Kheng. (1995). Sejarah Melayu. The Malay Annals. MBRAS
Bukhari Al-Jauhari. (1992). Taj Us-Salatin (edisi cetakan semula). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
A. Samad Ahmad. (1984). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: DBP.
Liaw Yock Fang. (1976). Undang-undang Melaka. The Hague: Martinus Nijhoff.
Al-Quran – (Surah  An Nisaa 4: 59).

Rujukan Internet

http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang
http://eprints.uthm.edu.my/4655/1/SHAH_RUL_ANUAR_BIN_NORDIN_24pg.pdf
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1219&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz3Ip5polJ3
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan